Rentas Malaysia-Singapura tanpa kuarantin, ujian Covid-19 mulai April

Ismail Sabri sedang mengadakan panggilan telefon bersama Hsien Loong.
Ismail Sabri sedang mengadakan panggilan telefon bersama Hsien Loong.
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia dan Singapura mencapai kata sepakat dengan membenarkan semua pengembara yang telah lengkap vaksinasi untuk merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian Covid-19, termasuk ujian pra-pelepasan dan semasa ketibaan.

Pejabat Perdana Menteri Malaysia dan Singapura menerusi kenyataan bersama memaklumkan, perkara itu terpakai ke atas semua kategori pengembara dan jenis pengangkutan darat.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembukaan sempadan Malaysia pada 1 April ini kepada pengembara antarabangsa melakar satu kejayaan penting dalam pemudah cara perjalanan rentas sempadan dengan jiran terdekat, Singapura.

"Pengumuman hari ini mencerminkan hubungan baik, kerjasama pelbagai aspek dan hubungan kukuh antara rakyat kedua-dua buah negara," katanya dalam kenyataan tersebut pada Khamis.

Menurutnya, langkah tersebut akan menyumbang kepada usaha pemulihan dengan impak positif ke atas ekonomi dan kesejahteraan rakyat kedua-dua negara.

Sementara itu, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong berkata, Singapura dan Malaysia menikmati hubungan yang mendalam, mesra dalam pelbagai aspek, serta hubungan antara rakyat yang kukuh.

“Pengumuman ini merupakan peristiwa penting dalam peralihan kita ke arah kehidupan dengan Covid-19.

"Ia mencerminkan kerjasama kukuh yang dinikmati kedua-dua pihak sepanjang pandemik ini dan akan membantu kedua-dua negara muncul lebih kuat daripada krisis ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ismail Sabri sebelum itu mengadakan panggilan telefon bersama Hsien Loong.

Kedua-dua pihak mengakui Malaysia dan Singapura telah menunjukkan perkembangan memberangsangkan khususnya dalam pelaksanaan program vaksinasi dan pengurusan pandemik Covid-19 bagi penduduk negara masing-masing.

Selain itu, Ismail Sabri dan Hsien Loong mengambil maklum atas kemajuan yang telah dicapai dalam meneruskan perjalanan rentas sempadan melalui Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin Udara dan Darat.