KPT, MQA mudahkan ahli Parlimen sambung pengajian melalui APEL

Noraini - Foto Bernama
Noraini - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan menyediakan kemudahan kepada semua ahli Parlimen yang berminat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi menerusi laluan Akreditasi Pembelajaran Pengalaman Terdahulu (APEL).

Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, perkara tersebut akan dibincangkan secara lanjut bersama Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

"Memang saya mengalu-alukan cadangan Yang Berhormat supaya MQA memudah cara dan memberi kerjasama kepada semua ahli Parlimen yang mahu jayakan APEL.

"Untuk makluman Yang Berhormat juga, KPT melalui MQA telah melakukan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan swasta, selain mengatur satu sesi khas bagi menawarkan laluan ini kepada semua ahli Parlimen.

"Kalau Yang Berhormat Speaker dan pentadbiran Parlimen membenarkan, kami juga ingin membuat atau menyediakan kaunter khas, sebagai contoh hari terbuka kepada ahli Parlimen yang berminat untuk sertai atau mengikuti program ini sekiranya diizinkan," katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi menjawab cadangan Datuk Seri Shamsul Iskandar (PH-Hang Tuah Jaya) untuk mempermudahkan semua ahli Parlimen yang berpengalaman menjayakan APEL.

Mengulas lanjut Noraini berkata, setakat ini Abdul Latiff Abdul Rahman (Pas-Kuala Krai) antara yang memohon mengikuti kursus APEL.

Sementara itu mengulas mengenai sambutan APEL dalam kalangan masyarakat, Noraini memaklumkan, MQA menerima sebanyak 5,737 permohonan untuk menyertai APEL sepanjang 2021 hingga Mac tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Daripada jumlah itu katanya, 411 permohonan melibatkan beberapa sektor antaranya kerajaan, badan bukan berkanun, swasta, persendirian serta syarikat berkaitan kerajaan.

“Dalam tempoh yang sama, seramai 1,302 calon telah lulus penilaian APEL A dalam pelbagai tahap kemasukan,” katanya.