Bekas wartawan Rusia kecam propaganda media pro-Moscow

Agalakova menjadi koresponden Channel One berpusat di Paris sebelum beliau meletak jawatan pada awal bulan lalu. - Foto Agensi
Agalakova menjadi koresponden Channel One berpusat di Paris sebelum beliau meletak jawatan pada awal bulan lalu. - Foto Agensi
A
A
A

PARIS - Seorang bekas wartawan Rusia tampil berani menyelar propaganda yang diuar-uarkan media pro-Kremlin selepas beliau membuat keputusan untuk meletak jawatan pada awal bulan lalu susulan kempen pencerobohan ke atas Ukraine.

Zhanna Agalakova menyatakan beliau tidak lagi boleh terlibat dengan ‘penipuan’ dan manipulasi yang sering dilakukan stesen TV di Moscow.

“Saya mahu rakyat Rusia buka mata. Sebelum ini, saya teragak-agak untuk tampil mendedahkan kebenaran ini. Tetapi, saya tidak pilihan lain,” katanya dengan linangan air mata ketika sidang media yang dianjurkan Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) di Paris pada Selasa.

Agalakova yang sebelum ini berpusat di Paris sebagai koresponden Channel One mengakui beliau banyak berkrompomi sepanjang dua dekad kariernya, namun serangan ke atas Kiev sudah melangkaui ‘garisan merah’.

Ketika ini, stesen TV Rusia terus menjadi tumpuan sejak bekas editor Channel One, Marina Ovsyannikova menyerbu set berita utama, Time pada minggu lalu sambil memegang poster dan melaungkan slogan mengutuk perang di Ukraine.

Ovsyannikova kemudiannya ditahan dan didenda 260 euro (RM1,206) sebelum dibebaskan, namun beliau dijangka bakal didakwa di bawah undang-undang baharu lebih tegas yang boleh dikenakan hukuman penjara jika disabit bersalah.

Wanita itu turut menolak tawaran suaka diberikan Presiden Perancis, Emmanuel Macron walaupun menyedari nyawanya mungkin terancam. - AFP

Artikel Berkaitan: