Semua lesen premis judi di Kedah ditamatkan akhir tahun ini

Mohd Hayati.
Mohd Hayati.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri bersetuju supaya semua lesen premis perjudian iaitu Ejen Agensi Nombor Ramalan (NFO) dan kelab persatuan (judi) di Kedah ditamatkan pada 31 Disember 2022.

Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, ia sebagaimana kelulusan oleh Kementerian Kewangan

Malaysia (MOF) setelah mengambil kira implikasi undang-undang.

Katanya, Kementerian Kewangan adalah satu-satunya agensi yang meluluskan lesen perjudian, manakala kerajaan negeri boleh mengeluarkan dasar kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi pengawalan lesen premis sahaja.

"Sebelum keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MKK) dibuat, kerajaan negeri mengadakan perbincangan bersama MOF bagi mengetahui status lesen perjudian tersebut.

"MOF bagaimanapun memaklumkan bahawa pihak kementerian telah

memperbaharui kesemua lesen yang dipohon oleh operator sehingga

31 Disember 2022 sebelum pengumuman Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor," katanya dalam ucapan penggulungan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Menurut Mohd Hayati, setelah mengambil kira implikasi undang-undang, kerajaan

negeri bersetuju supaya semua lesen premis perjudian diberhentikan sehingga 31 Disember 2022 sebagaimana kelulusan Kementerian Kewangan itu.

Kata Mohd Hayati lagi, tempoh persediaan diberikan oleh kerajaan negeri kepada pengusaha lesen untuk mencari alternatif perniagaan lain yang bersesuaian untuk kelangsungan pendapatan.

"Sehingga hari ini, hanya satu lesen premis perjudian yang tidak beroperasi dan telah ditutup daripada 45 lesen premis perjudian yang dikeluarkan kepada PBT," katanya.

Tambah Mohd Hayati, lesen premis lain yang masih mempunyai tempoh sah akan tamat secara berperingkat.

Beliau berkata, dalam pada itu kerajaan negeri meminta pihak berkaitan seperti PBT, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lain - lain agensi berkaitan supaya

membuat pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan tiada aktiviti perjudian di Kedah menjelang 1 Januari 2023.

Pada 14 November 2021, kerajaan negeri Kedah memutuskan untuk tidak memberi kelulusan kepada permohonan baharu lesen perjudian serta tidak memperbaharui lesen judi sedia ada selepas ia tamat tempoh berkuat kuasa serta merta.