400 OKU terima manfaat kolam terapi hidro

Isteri Tengku Mahkota Kelantan, Cik Puan Sofie Louise Johansson (tiga dari kiri) memotong riben perasmian Kolam Terapi Hidro YOKUK di Pengkalan Chepa, Kota Bharu pada Selasa.
Isteri Tengku Mahkota Kelantan, Cik Puan Sofie Louise Johansson (tiga dari kiri) memotong riben perasmian Kolam Terapi Hidro YOKUK di Pengkalan Chepa, Kota Bharu pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Lebih 400 orang kurang upaya (OKU) bakal memperoleh manfaat daripada kolam terapi hidro yang pertama secara percuma dibina oleh A Foundation for the Disabled and Underprivileged (YOKUK) di negeri ini.

Pengarah Eksekutif, Datin Suliana Shamsuddin Alias berkata, kolam bersaiz 74 meter persegi dengan kedalaman sehingga 1.4 meter itu menelan belanja RM600,000.

Katanya, hasrat badan bukan kerajaan (NGO) tersebut memiliki kolam terapi hidro sendiri tercapai menerusi sumbangan RM400,000 daripada kumpulan CIMB Bank Berhad dan penderma lain.

“Kolam ini siap dibina di YOKUK sejak dua tahun lalu namun perasmian dan operasi fasiliti ini tertangguh kerana Covid-19.

“Perkhidmatan rehabilisasi yang ditawarkan ini adalah percuma kepada OKU dari golongan B40 dan berdaftar dengan YOKUK,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Kolam Terapi Hidro YOKUK di Pengkalan Chepa di sini pada Selasa.

Hadir sama isteri Tengku Mahkota Kelantan, Cik Puan Sofie Louise Johansson yang merasmikan majlis itu dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan Transaksi CIMB Bank, Rafe Haneef.

Ujar Suliana, setakat ini, 5,000 OKU berdaftar dengan YOKUK dengan 400 daripadanya menjalani terapi hidro di kolam awam seperti hotel yang ditumpang yayasan itu sejak 10 tahun lalu.

“YOKUK tidak lagi perlu meminjam kolam di tempat lain dan sudah mempunyai tiga juru terapi yang akan memberikan perkhidmatan rehabilisasi kepada OKU seperti Cerebral Palsy, angin ahmar dan lumpuh.

Artikel Berkaitan:

“Air di dalam kolam terapi yang disediakan ini bersuhu suam dan menggunakan garam bagi menggantikan penggunaan klorin supaya penggunaannya lebih selesa dan selamat kepada OKU,” katanya.

Menurutnya, seseorang pesakit lumpuh memerlukan tempoh paling minimum enam bulan sehingga dua tahun bergantung kepada keadaan kesihatan dan kekerapan menjalani terapi.

“Pesakit juga akan menjalani terapi. hippo atau terapi berkuda menyebabkan proses rehabilisasi memakan masa yang lama selain kos yang tinggi.

“Paling minimum RM200 hingga RM300 bagi setiap sesi namun di YOKUK boleh dilakukan secara percuma bagi yang tidak berkemampuan,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua penderma yang merealisasikan pembinaan kolam terapi hidro berkenaan dan masih memerlukan lebih banyak peralatan sokongan untuk membantu OKU menjalani terapi dengan lebih baik.