FAM mula lakukan penambahbaikan pengurusan pasukan kebangsaan

No Image Caption
A
A
A

PERSATUAN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah mula mengambil langkah penambaikan seperti dicadangkan Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya pada 21 Januari lepas.

Berdasarkan kemas kini aktiviti teknikal FAM yang disiarkan pada Selasa, Pengarah Teknikal FAM Scott O'Donell berkata, sasaran bagi pasukan kebangsaan, hanya boleh ditetapkan selepas perundingan antara semua pihak berkaitan seperti jurulatih, Pengarah Teknikal dan Exco FAM.

Katanya, badan induk bola sepak itu juga, telah mewujudkan Pasukan Prestasi Tinggi terdiri daripada ahli fisiologi, psikologi serta pakar pemakanan, sebagai tambahan kepada staf sokongan sedia ada, dengan Reuben Jude Balraj sebagai Pengurus Prestasi Tinggi.

"Sebahagian daripada peranan Pengurus Prestasi Tinggi ialah menyusun keputusan-keputusan ujian, analisis perlawanan, laporan kecederaan dan sebagainya, untuk digunakan sebagai perbandingan serta perancangan masa hadapan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, FAM juga menetapkan tempoh persiapan minimum bagi dua jendela FIFA tahun ini, iaitu selama tujuh hari pada Mac, dalam persiapan menghadapi perlawanan antarabangsa Siri Tiga-Negara FAS 2022 menentang Filipina dan Singapura bermula esok (Rabu).

Bagi persiapan pusingan kelayakan akhir Piala Asia 2023 pada Jun ini, FAM menetapkan tempoh selama lapan hari, supaya skuad kendalian Kim Pan Gon mendapat tempoh persiapan yang sesuai.

"FAM dan Jabatan Pasukan Kebangsaan akan berkerjasama rapat dengan MFL (Liga Bolasepak Malaysia), dalam memastikan tempoh persiapan lebih panjang,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, O'Donell memaklumkan Pan Gon akan turut berkhidmat sebagai pengurus pasukan, sebagaimana tanggungjawab digalas Nelo Vingada, yang menjadi Ketua Jurulatih dan Pengurus Pasukan skuad kebangsaan pada 2017.

Artikel Berkaitan:

O'Donell berkata, pihaknya juga telah memuktamadkan templat laporan pasukan kebangsaan, selepas berunding dengan staf pasukan kebangsaan.

"Pada masa akan datang, semua pasukan kebangsaan akan menggunakan templat dan proses membuat laporan yang seragam,” jelasnya.

O'Donell turut merancang memperluaskan penganjuran Liga SupaRimau, iaitu liga bola sepak bagi kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia antara enam dan 16 tahun.

"Ketika ini ia diadakan di enam negeri membabitkan Johor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya, dengan empat negeri baharu iaitu Melaka, Kedah, Sabah dan Pahang akan menyertai musim kedua liga itu,” katanya.

Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya yang diketuai Datuk Dell Akbar Khan, telah menggariskan 10 dapatan kajian ke atas kegagalan pasukan kebangsaan pada Piala AFF 2020 di Singapura hujung tahun lepas, yang tersingkir seawal peringkat kumpulan.

Dell Akbar juga menggariskan 10 cadangan penambahbaikan untuk pertimbangan FAM, supaya kegagalan itu tidak berulang termasuk menetapkan tempoh minimum 14 hari latihan pusat bagi Piala AFF; menyediakan templat laporan yang lebih komprehensif; pelan kontigensi untuk menangani pandemik Covid-19; dan memastikan MFL menyesuaikan jadual liga dengan jadual pasukan kebangsaan.

Mereka juga mencadangkan untuk mewujudkan Pasukan Prestasi Tinggi, yang terdiri daripada kakitangan teknikal, sains dan perubatan sukan, penganalisa serta pegawai statistik, seperti yang digunakan di luar negara, bagi meningkatkan prestasi pasukan secara lebih berstruktur dan berdasarkan bukti. - Bernama