Eksport ketum: 'Jangan malukan Kedah'

Tan Kok Yew
Tan Kok Yew
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor diminta tidak memalukan Kedah dengan cadangan mengeksport ketum secara sah ke Thailand.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Derga, Tan Kok Yew menasihatkan Muhammad Sanusi supaya lebih berhati-hati ketika bercakap.

"Ada beza geliga (bijak) dengan kelolo (suka bergurau). Walaupun Muhammad Sanusi bukan daripada parti kami tapi Yang Amat Berhormat (YAB) adalah menteri besar kami.

"Jangan bagi malu negeri dengan kelakuan YAB," katanya ketika membahaskan titah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman, di sini, pada Selasa.

Tegas beliau, Muhammad Sanusi juga perlu memberi penjelasan dan jaminan cadangan eksport daun ketum yang dikemukakan tidak memberi kesan sekiranya dibenarkan kerajaan.

"Saya mohon penjelasan, sekiranya dibenarkan atas peraturan khusus seperti yang YAB cadangkan untuk eksport daun ketum. Apakah jaminan tiada salah guna daun ketum dalam kalangan masyarakat? Apakah jaminan penyeludupan boleh dibanteras?

"Saya faham YAB memikirkan untuk ekonomi negeri, tetapi tidakkah lebih baik tumpukan kepada apa yang sudah diumumkan sebelum ini," katanya.

Kok Yew turut mempersoalkan bagaimana Muhammad Sanusi boleh menganggap kegiatan penyeludupan haram ketum ke Thailand dapat dibanteras sekiranya permohonan eksport ketum itu dibenarkan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, katanya, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin memaklumkan tidak akan membenarkan daun ketum dari negara ini dieksport ke Thailand kerana ia jelas bertentangan dengan Akta Racun 1952.

"Setakat ini jelas jika tanpa sebarang pindaan Akta Racun, daun ketum atas apa saja alasannya adalah salah. Ini fakta. Tetapi Muhammad Sanusi mencadangkan untuk dibenarkan eksport iaitu supaya ia dibenarkan undang-undang melalui peraturan khas dan sebagainya," katanya.

Kok Yew mengingatkan, ketum lebih berisiko jika diluluskan kerana ia lebih susah untuk dikawal berbanding judi berlesen yang hanya melibatkan bukan Islam

"Ketum tidak kira Islam ataupun bukan islam, tua muda tanam ketum dalam hutan kawasan agak terpencil. Jadi lebih senang disalah guna dan lebih susah dikawal," katanya.