Hasil bedah siasat mayat wanita dihantar ke Jabatan Kimia

Mayat wanita itu sebelum ini dilaporkan ditemui dalam keadaan tertiarap di dalam gaung di Kilometer 14 Jalan Bukit Putus Lama di sini pada Ahad.
Mayat wanita itu sebelum ini dilaporkan ditemui dalam keadaan tertiarap di dalam gaung di Kilometer 14 Jalan Bukit Putus Lama di sini pada Ahad.
A
A
A

SEREMBAN - Hasil bedah siasat mayat seorang wanita tanpa identiti dan berulat yang ditemukan di dalam gaung di Kilometer 14 Jalan Bukit Putus Lama di sini Ahad lalu akan dihantar ke Jabatan Kimia.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, proses itu perlu bagi mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa.

"Keputusan bedah siasat dilakukan masih tidak dapat mengesan punca kematian.

"Spesimen mayat terbabit telah pun dihantar ke Jabatan Kimia dan laporan penuh bedah siasat hanya akan dikeluarkan selepas agensi itu menyiapkan analisis forensiknya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Menurutnya, berdasarkan maklumat awal mangsa telah meninggal dunia antara empat ke lima hari.

Beliau berkata, setakat ini polis juga tidak menerima sebarang laporan kes orang hilang.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan penemuan mayat wanita oleh seorang lelaki berusia 50-an yang sedang berjoging di Jalan Bukit Putus Lama jam 10.50 pagi.

Nanda berkata, lelaki itu yang mahu mengambil gambar terkejut melihat mayat terbabit dan telah memaklumkan kepada renjer yang bertugas di Pejabat Perhutanan Ulu Bendul, Kuala Pilah.

Artikel Berkaitan:

"Renjer terbabit telah maklumkan kepada polis yang kemudian telah buat pemeriksaan di lokasi.

"Unit Pengesan Anjing (K9) yang membuat siasatan di lokasi tidak menemui sebarang kesan yang boleh membantu siasatan termasuk sama ada wujud unsur jenayah dengan kematian mangsa atau sebaliknya," katanya.