Kerajaan masih kaji kesesuaian laksana kembali GST

Kerajaan masih mengkaji kesesuaian untuk melaksanakan GST serta model cukai kepenggunaan yang lain. - Gambar hiasan
Kerajaan masih mengkaji kesesuaian untuk melaksanakan GST serta model cukai kepenggunaan yang lain. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan masih mengkaji kesesuaian untuk melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta model cukai kepenggunaan yang lain, menurut Kementerian Kewangan.

Katanya, kajian itu mengambil kira semua aspek termasuk kelemahan sistem cukai jualan dan cukai perkhidmatan sedia ada serta kelemahan sistem GST yang dilaksanakan pada tahun 2015.

"Kajian yang dijalankan turut meliputi kesan ke atas ekonomi, kos sara hidup, kesan cukai ke atas harga barang serta keupayaan menangani kegiatan ekonomi gelap,” katanya dalam jawapan lisan yang disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Isnin.

Kementerian Kewangan menjawab soalan Su Keong Siong (Kampar-PH) sama ada kerajaan berhasrat untuk mengembalikan pelaksanaan GST.

Katanya cukai baharu tersebut, jika dilaksanakan, juga perlu bersifat mudah ditadbir dan tidak meningkatkan kos perniagaan di samping dapat mengukuhkan kedudukan fiskal negara.

Menurut kementerian itu, ekonomi negara sedang berada dalam fasa pemulihan dan pelaksanaan sebarang bentuk cukai kepenggunaan yang baharu perlu mengambil kira senario semasa.

"Di samping itu, ia juga memberi ruang bagi persiapan dan persediaan yang rapi di kedua-dua pihak kerajaan dan pembayar cukai,” katanya.

Sementara itu, kutipan hasil Cukai Jualan dan Perkhidmatan kerajaan Persekutuan bagi tahun 2021 adalah sebanyak RM25.48 bilion, yang terdiri daripada RM13.49 bilion daripada Cukai Jualan dan RM11.99 bilion daripada Cukai Perkhidmatan.

Artikel Berkaitan:

Pada 2020, Cukai Jualan dan Perkhidmatan yang dikutip adalah berjumlah RM25.25 bilion merangkumi RM13.24 bilion daripada Cukai Jualan dan RM12.01 bilion daripada Cukai Perkhidmatan. - Bernama