Gaji minimum RM1,500 tak kira usia

No Image Caption
A
A
A

PELAKSANAAN gaji minimum bermula 1 Mei ini seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendapat reaksi berbeza terutama melibatkan pemain industri, tambahan pula negara masih bergelut dengan Covid-19.

Pelaksanaan gaji minimum itu bagaimanapun akan hanya melibatkan majikan yang memiliki lima pekerja ke atas dan tidak membabitkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Merak Jalanan secara asasnya senada dengan apa yang Naib Presiden UMNO itu umumkan di pentas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 pada Sabtu.

Cuma yang tidak sedap didengar adalah rungutan orang lama atau pekerja senior tentang tangga permulaan gaji itu.

Kawan Merak Jalanan misalnya memberitahu, cukup bertuah orang muda hari ini. Dapat menentukan kerajaan pada usia 18 tahun dan dapat pula gaji permulaan yang tinggi.

Kalau dulu katanya, hendak mencecah RM1,500 sebulan perlu buat kerja lebih masa, baru tidur dan makan senang hati. Di media sosial juga begitu. Sebahagian netizen meluahkan rasa tidak puas hati, seolah-olah golongan muda ini amat dimanjai dan sentiasa diberi perhatian.

Bagi Merak Jalanan, zaman sekarang tidak seperti dahulu. Kos sara hidup telah meningkat, mungkin melebihi 100 peratus. Ia andaian Merak Jalanan yang membesar pada zaman sebelum dan selepas peralihan teknologi digital.

Lihat sahaja hari ini, harga bilik sewa mencecah RM400 hingga RM500 sedangkan dahulu sahaja, bilik kecil bersaiz sama hanya sekitar RM150.

Artikel Berkaitan:

Itu belum lagi dikira kos makan dan minum. Sedangkan harga sardin dalam tin pun telah dilabel makanan kayangan pada hari ini.

Jadi wajarlah RM1,500 itu menjadi gaji pemula buat anak muda untuk bernafas mencari sesuap nasi.

Dan barang diingat, gaji minimum itu juga tidak mengira usia. Siapa sahaja yang digaji layak menerima tidak rendah dari angka itu.