Padah curi air, syarikat pembinaan didenda RM40,000

Mahkamah Kuala Lumpur
Mahkamah Kuala Lumpur
A
A
A

KUALA LUMPUR – Padah membuat penyambungan bekalan air yang menyalahi undang-undang, sebuah syarikat pembinaan didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada 18 Mac lalu.

Cedy Third Contracting And Trading (M) Sdn Bhd selaku orang kena saman (OKS) dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid.

Mengikut pertuduhan, OKS didakwa membuat penyambungan ke sesalur utama awam yang mana syarikat itu tidak mendapat kebenaran daripada pemegang lesen di tapak pembinaan di Jalan 2/112C Mukim di sini pada 28 April 2021.

Ia menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 [Akta 655] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 123(3) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menerima aduan daripada pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) lalu mengadakan serbuan di tapak pembinaan Projek Cadangan Pembangunan Satu Blok Pangsapuri Suites 39 tingkat di lokasi tersebut.

Hasil siasatan mendapati, bekalan air daripada penyambungan digunakan untuk kerja-kerja pembinaan dan kegunaan harian pekerja binaan yang tinggal di tapak berkenaan.

Kes ini dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPAN, Thilaga Shanmugam.

Menerusi kenyataan media pada Isnin, SPAN berkata, OKS didapati melakukan penyambungan bekalan air tanpa kebenaran ke sesalur utama awam di lokasi tetiang meter yang terletak dalam 0.5 kilometer daripada tapak pembinaan tersebut.

Artikel Berkaitan:

“SPAN berharap kes ini dapat meningkatkan kesedaran orang awam tentang kesalahan mencuri air dan penyambungan tidak sah.

“Pelbagai usaha dilakukan bagi membantu dalam pengurangan kadar Air Tidak Berhasil (Non-Revenue Water –NRW) akibat daripada sambungan haram,” katanya.

SPAN turut memohon, kerjasama orang awam untuk melaporkan kes-kes sedemikian kepada SPAN menerusi aplikasi WhatsApp ke talian 0133885000 atau e-mel ke aduan@span.gov.my.