Lompat parti: Tunggu surat saman, kata Ahmad Maslan

No Image Caption
A
A
A
KUALA LUMPUR - Datuk Ahmad Maslan (BN-Pontian) meminta Datuk Seri Ronald Kiandee (PH-Beluran) agar bersedia untuk menerima surat saman daripada UMNO susulan tindakannya yang melompat parti baru-baru ini.

Katanya, usaha ke arah itu telah digerakkan oleh Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa, untuk memberi pengajaran kepada mereka yang 'mengkhianat' parti.

"UMNO sudah buat keputusan untuk menyaman semua ADUN dan Ahli Parlimen yang dahulu UMNO lompat parti, jadi YB Beluran dan teman-teman yang lain bersedialah untuk terima saman itu," katanya ketika mencelah perbahasan Kiandee di Dewan Rakyat, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: UMNO teruskan saman ADUN, Ahli Parlimen lompat parti

Kiandee sebelum itu, membahasakan usul junjung kasih Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Kiandee pada Disember lalu mengumumkan keluar UMNO Sabah berserta tiga lagi wakil rakyat lain iaitu Ahli Parlimen Kudat, Abd Rahim Bakri; Ahli Parlimen Beaufort, Azizah Mohd Dun dan Ahli Parlimen Libaran, Datuk Zakaria Edris.

Terdahulu Kiandee dalam ucapan perbahasannya menyifatkan kenyataan Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) di Dewan Rakyat semalam, mengenai golongan lompat parti adalah tidak bermaruah hanyalah sebagai satu kenyataan bersifat politik.

"Sebenarnya tiada siapa yang tidak bermaruah duduk di kerusi sini lompat (PH), saya berpendapat bahawa ungkapan yang dikatakan kami yang ahli di sini, tidak bermaruah dan jijik adalah merupakan ungkapan politik yang terjadi disebabkan oleh keghairahan Kinabatangan ketika berbahas.

"Saya yakin Kinabatangan maklum dan meneliti sejarah di Sabah, bahawa kerajaan BN 1994 adalah juga mewarisi mereka yang berahli parti daripada PBS kepada UMNO dan menyokong BN sehingga terbentuknya kerajaan BN 1994, sebab itu bila diungkap kami tidak bermaruah saya boleh anggap ia sebagai kenyataan politik," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bung semalam menegaskan golongan lompat parti dianggap tidak mempunyai perjuangan, tiada kekuatan selain tidak mempunyai maruah, malah memberitahu, lompat parti hanya terkenal di negara ini sebaliknya hal itu jarang berlaku di luar negara.