Pelbagai isu dibincang untuk golongan seni kreatif: Zahidi

Zahidi menjawab soalan pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Parlimen ke-14 di Parlimen pada Selasa. - Foto Bernama
Zahidi menjawab soalan pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Parlimen ke-14 di Parlimen pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) menerusi Task Force Industri Kreatif mengambil kira beberapa isu antaranya caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) serta perlindungan insurans bagi golongan artis dan penggiat seni bebas untuk dibincangkan pasukan itu dalam usaha membantu meningkatkan profesionalisme golongan berkenaan.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, pasukan petugas berkenaan akan meneliti dan mengambil kira langkah penambahbaikan industri kreatif termasuk isu kebajikan penggiat seni melibatkan artis, pelakon serta pekerja belakang tabir.

“Pandangan dan maklum balas daripada Persatuan Pengeluar Filem (PFM), Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) dan Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) penting untuk melaksanakan inisiatif berkenaan,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Sementara itu menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (Pas-Pasir Mas) berhubung royalti penggiat seni, Zahidi berkata K-KOMM sedang berbincang kaedah untuk mempergiatkan lagi usaha menjaga kebajikan artis termasuk dalam hal membabitkan royalti.

Ketika ini katanya, K-KOMM hanya bertanggungjawab menguruskan kebajikan bagi individu yang terbabit dalam industri perfileman dan drama.

"Sekarang K-KOMM hanya uruskan artis yang bukan penyanyi, kerana mereka diuruskan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sama ada membabitkan royalti dan sebagainya,” ujarnya.

Mengenai perancangan kementerian itu bagi menjaga kebajikan artis veteran pula, beliau berkata, maklum balas daripada persatuan artis juga diambil kira bagi mencari langkah menjaga kebajikan golongan itu, memandangkan terdapat laporan ada antara mereka yang terlantar sakit dan dihalau dari rumah.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) yang ingin tahu perancangan K-KOMM bagi menjaga kebajikan artis veteran.

Artikel Berkaitan: