Bila krisis minyak melanda dunia...

Pada 11 Mac lalu, harga setong bahan api mencecah AS$130 (RM545.09) iaitu kadar tertinggi sejak tahun 2008.
Pada 11 Mac lalu, harga setong bahan api mencecah AS$130 (RM545.09) iaitu kadar tertinggi sejak tahun 2008.
A
A
A

UMUM mengetahui sejak tercetusnya perang Rusia-Ukraine pada 24 Februari lalu, banyak isu dibangkitkan khasnya membabitkan kesan terhadap perdagangan dunia termasuk pasaran minyak.

Tidak terkecuali dengan Malaysia, apabila krisis perang dua negara Eropah itu sedikit sebanyak menimbulkan kerisauan dalam kalangan rakyat terutama pemain industri berkaitan bahan api itu.

Mungkinkah akan berulang kejutan minyak yang pernah berlaku pada awal 1970-an? Ingin penulis kongsikan sedikit kisah mengenai kejutan yang menggoncang industri bahan api tersebut.

Untuk makluman pembaca, kejutan minyak pada awal 1970-an berpunca daripada Perang Yom Kippur apabila Mesir dan Syria melancarkan operasi ketenteraan ke atas Israel.

Ketika itu, negara Arab terdiri daripada enam anggota Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) mengisytiharkan embargo eksport ke atas negara yang menyokong Tel Aviv terutama sekutu rapatnya, Amerika Syarikat (AS).

Hasilnya, wujud situasi dipanggil stagflasi (inflasi dan genangan ekonomi berlaku serentak) yang mana bank pusat meningkatkan kadar mereka secara besar-besaran sehingga memberi kesan buruk kepada pertumbuhan ekonomi dunia.

Pada awal Mac lalu, seorang menteri di negara Eropah iaitu Bruno Le Maire menyuarakan kebimbangannya terhadap lonjakan harga bahan api yang disebabkan oleh kempen pencerobohan Rusia di Ukraine dan menyamakan krisis itu setanding Perang Yom Kippur.

Pada Jumaat pula, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah mengeluarkan amaran bahawa perang Rusia-Ukraine bakal menjejaskan pasaran India. Mengapa pula begitu?

Artikel Berkaitan:

Menurut Pengarah Komunikasi IMF, Gerry Rice, peperangan di antara dua negara Eropah itu bakal menyerang ekonomi India dari pelbagai sudut buat masa ini.

Pada 11 Mac lalu, harga setong bahan api mencecah AS$130 (RM545.09) iaitu kadar tertinggi sejak tahun 2008. Difahamkan kenaikan harga bahan api itu disebabkan pencerobohan yang berlaku di Ukraine.

Malah, Presiden AS, Joe Biden dilaporkan membuat tindakan dengan menyekat bahan api dari Rusia.

Bagaimanapun, jangan kita lupa, Rusia adalah negara yang menguasai lebih 10 peratus daripada bekalan minyak global.

Jadi apa kesannya terhadap Malaysia? Negara kita mungkin sedikit terselamat dengan kesan inflasi akibat perang Rusia-Ukraine itu memandangkan Malaysia juga memiliki status sebagai sebuah negara pengeksport minyak.

Seorang pakar ekonomi berpendapat, kerajaan dijangka masih boleh memberi komitmen subsidi bahan api kepada rakyatnya.

Menurutnya, dengan pengekalan subsidi bahan api sedia ada, kadar inflasi akibat kenaikan harga minyak mungkin sedikit terkawal.

Pendek kata, rakyat masih boleh menikmati subsidi harga petrol dan diesel walaupun ada naik turun pada setiap minggu.

Bagaimanapun, harus diingat bukan sahaja bahan api, negara kita juga akan terjejas sedikit dengan peperangan dua negara Eropah itu.

Baru-baru ini, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mendedahkan sedang mencari sumber bahan mentah termasuk input pertanian dari negara pengeluar lain, berikutan konflik berterusan antara Rusia dan Ukraine.

Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, Malaysia mengimport sebahagian bahan input pertanian seperti baja dari dua negara tersebut.

"Memang kita ada import bahan mentah dari Rusia dan Ukraine, tetapi kita juga berusaha mencari solusi dengan negara sumber yang lain, iaitu bahan mentah seperti minyak, baja iaitu input utama pertanian," ujarnya.

Akuinya lagi, sebelum berlaku peperangan, Malaysia berjaya membawa masuk stok yang dikira mencukupi bagi tempoh sebulan dua sahaja lagi.

Peperangan itu juga memberi kesan terhadap harga makanan ternakan di pasaran dunia dan Malaysia tidak terkecuali kerana difahamkan menjadi pengimport dari kedua-dua negara Eropah tersebut.

Jadi, adakah Malaysia tidak terkecuali dengan impak perang negara Eropah?

* Nurbaya Abdul Rezak ialah Penyunting Sinar Harian