Anthony Loke dilantik sebagai Setiausaha Agung DAP baharu

Anthony Loke
Anthony Loke
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook diumumkan sebagai Setiausaha Agung DAP yang baharu menggantikan Lim Guan Eng yang telah menjawat jawatan tersebut pada sejak 2004.

Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Agung yang baharu manakala Guan Eng akan memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi Kebangsaan DAP.

Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo yang mendapat undian tertinggi dalam pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP dalam Kongres Kebangsaan DAP ke-17 pada Ahad dengan 1,762 undi mengekalkan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP.

Selain Gobind, empat individu lain yang mendapat undian tertinggi dalam pemilihan tersebut ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dengan 1,641 undi diikuti Anthony Loke (1,625); Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok (1,373) dan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh (1,346).

Selain itu individu lain yang turut menganggotai CEC ialah Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun; Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong; ADUN Kinrara, Ng Sze Han; ADUN Sekinchan yang juga Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim; Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai; Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming dan Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran.

Seramai 30 orang individu yang terpilih sebagai anggota CEC akan bertanggungjawab untuk melantik kesemua kepimpinan tertinggi parti tersebut dan 10 orang lagi individu ke dalam jawatankuasa tersebut.

Antara kepimpinan terbaharu DAP lain diumumkan ialah lima Naib Pengerusi Kebangsaan iaitu Kor Ming, Kon Yeow, Chong Chieng Jen, M Kulasegaran dan Teresa Kok Suh Sim manakala Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang dilantik sebagai Mentor DAP.

Jawatan Penasihat DAP akan dipikul oleh Kok Wai sementara bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Kor Ming pula akan memegang peranan sebagai Ketua Parlimen DAP.

Artikel Berkaitan: