Bukan kemalangan, tapi dipukul sampai mati

Polis mengambil barang kes dari tempat kejadian dan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.
Polis mengambil barang kes dari tempat kejadian dan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Helah tiga rakan yang mendakwa rakan sekerja mereka terlibat dalam kemalangan jalan raya akhirnya terbongkar apabila polis mendapati kecederaan pada mangsa bukan kesan daripada kemalangan.

Mangsa, S Gehanathan, 38 disahkan meninggal dunia 11 pagi semalam di Hospital Seberang Jaya setelah dimasukkan ke hospital berkenaan pada jam 4.30 petang, 19 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Abd Hamid berkata, hasil siasatan mendapati, kecederaan pada badan mangsa berunsurkan perbuatan jenayah.

"Hasil pemeriksaan awal pada mayat, terdapat luka di kepala, muka dan lengan kanan dipercayai bukan kesan kemalangan, malah siasatan di lokasi kejadian juga gagal menemui sebarang kejadian kemalangan jalan raya seperti yang dilaporkan.

"Kita percaya, mangsa yang mempunyai dua rekod jenayah melibatkan dadah itu telah dipukul. Sehubungan itu, polis telah menjalankan siasatan di sebuah kedai mencuci kereta di Taman Chai Leng, Perai dengan mengambil keterangan tujuh pekerja kedai berkenaan," katanya.

Tambahnya, tiga daripada mereka warga Myanmar dan empat lagi lelaki warga tempatan.

"Hasil soal siasat mendapati, berlaku kejadian pukul oleh tiga lelaki tempatan tersebut terhadap mangsa berikutan selisih faham kerana sikap mangsa. Mangsa dikatakan telah ditarik suspek kedua yang juga majikannya masuk ke sebuah rumah yang dijadikan pejabat yang terletak bertentangan dengan kedai mencuci kereta terbabit.

"Mereka mendakwa mangsa telah mengirimkan mesej melalui aplikasi WhatsApp kepada suspek kedua bahawa dia akan mengganggu keluarga suspek," katanya.

Artikel Berkaitan:

Nik Ros Azhan berkata, susulan daripada kejadian itu, mangsa dikatakan telah pengsan kerana mengalami kecederaan.

"Suspek kedua telah menghubungi ambulans dan mendakwa mangsa telah terlibat dalam kemalangan jalan raya. Pemeriksaan di kedai mencuci kereta itu tidak menemui sebarang kesan kejadian, dipercayai telah dibersihkan.

"Bagaimanapun, pemeriksaan di lokasi kedua (pejabat) menemui percikan darah di dinding ruang tamu dan sebatang kayu mempunyai kesan darah. Turut ditemui, sebuah tin cat telah kemik yang mana ada kesan darah di bahagian bawahnya.

"Selain itu, kita turut menemui sebatang kayu mop lantai berhampiran tandas yang juga mempunyai kesan darah selain selipar sebelah kanan di bawah katil," katanya.

Beliau berkata, polis menahan tiga lelaki termasuk majikan mangsa untuk membantu siasatan.

"Suspek pertama berusia 21 tahun dan suspek kedua berusia 35 tahun, manakala suspek ketiga berusia 30 tahun. Kesemuanya tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

"Ketiga-tiga suspek direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.