Kerajaan ambil langkah intervensi kawal harga bahan makanan

Datuk Seri Dr Ronald Kiandee
Datuk Seri Dr Ronald Kiandee
A
A
A

BELURAN - Kerajaan telah mengambil pelbagai langkah intervensi bagi memastikan konflik Rusia-Ukraine tidak menjejaskan pengeluaran makanan dan mengawal harga bahan makanan di negara ini, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Beliau berkata, antara langkah intervensi itu, termasuk menyediakan subsidi kepada beberapa bahan makanan seperti ayam dan telur, bagi menghadapi sebarang faktor luar jangka akibat konflik dua negara tersebut.

"Kerajaan merupakan kerajaan yang prihatin. Kita (kerajaan) akur akan kenaikan harga kos yang di luar kawalan, menyebabkan kos pengeluaran bahan makanan di negara kita terkesan dan meningkat sedemikian rupa.

"Kerajaan mengambil pelbagai langkah dan intervensi jangka pendek dan panjang memastikan pengeluaran tidak terjejas dan mengawal kenaikan harga kepada pengguna disebabkan kenaikan kos input dari luar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan titian konkrit di Kampung Keniogan dekat sini pada Ahad.

Mengenai titian konkrit di Kampung Keniogan itu, beliau berkata, pembinaannya bermula 4 Mei tahun lepas dan siap 13 Mac, dilaksanakan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dengan kos hampir RM1 juta.

Ronald, juga Ahli Parlimen Beluran berkata, LKIM telah membaik pulih jeti di tiga lokasi lain di Beluran iaitu di Kampung Muanad 2, Kampung Seri Menanti dan Kampung Keramat, sementara 18 lagi jeti dan titian di sekitar kampung nelayan di Beluran sedang dalam perancangan untuk dibaik pulih, dinaik taraf atau dibina baharu, yang akan memberi kemudahan pendaratan ikan yang lebih baik.

Sempena program itu, Ronald turut meninjau rumah nelayan yang dibaik pulih di bawah Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) di Kampung Keniogan, yang merupakan sebahagian daripada 200 rumah nelayan yang telah dan sedang dibaik pulih oleh LKIM di Beluran, dengan peruntukan RM3 juta.

Katanya, kerajaan melalui LKIM memperuntukkan lebih RM150 juta tahun ini, bagi menyediakan bantuan dan insentif kepada masyarakat nelayan seluruh negara merangkumi Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN), subsidi minyak fiesel dan petrol, dana nelayan, Tabung Bencana dan Kebajikan Nelayan, Projek Tanaman Kontan, Bantuan Projek Ekonomi Kumpulan Nelayan dan Program Bakul Makanan Nelayan. - Bernama

Artikel Berkaitan: