Tiada rayuan kurangkan kompaun untuk Ops J-Force

Noraini (tengah) turun padang bersama pasukan J-Force membuat pemantauan di kawasan perindustrian Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Klang pada Sabtu.
Noraini (tengah) turun padang bersama pasukan J-Force membuat pemantauan di kawasan perindustrian Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Klang pada Sabtu.
A
A
A

KLANG - Tiada rayuan atau pengurangan kompaun akan diberikan sepanjang Ops J-Force dilaksanakan di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) Majlis Perbandaran Klang (MPK) bermula Rabu lalu sehingga April ini.

MPK dalam satu kenyataan memaklumkan, sebanyak 491 pemeriksaan dibuat sehingga Sabtu melibatkan kawalan kesihatan dan kebersihan, kawalan pembangunan serta kawalan perniagaan sejak operasi bermula.

"Sebanyak lima permis diperiksa dan didapati empat daripadanya tidak berlesen. Kompaun telah dikeluarkan di bawah UUK (3) PTPP MPK 2007 dan UUK 3 (1) PEM MPK 2007.

"Selain itu, empat permis dan satu tapak pembuangan sampah haram diperiksa dalam operasi berasingan di sekitar Jalan Kem, Jeti Pendamaran dan Bandar Parkland diketuai Setiausaha MPK, Elya Martini Darmin," kata MPK dalam kenyataan pada Ahad.

Turut sama di lokasi ialah Ahli Majlis kawasan tersebut, Puspavali Mahalinggam.

Operasi pada Sabtu itu turut dihadiri Yang Dipertua MPK, Noraini Roslan membuat pemantauan di kawasan perindustrian Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Klang.

Noraini berkata, operasi J-Force itu dijalankan bagi menjadikan Klang sihat, bersih dan selamat.

"Kita menumpukan kepada kawalan kesihatan dan kebersihan serta tindakan penguatkuasaan melibatkan pengeluaran notis, kompaun, sita, pembatalan lesen, penutupan dan pendakwaan.

Artikel Berkaitan:

"Turut dilakukan ialah kawalan pembangunan tambahan binaan, binaan baru tanpa kebenaran, kilang tanpa kebenaran (KTK), kerja tanah atau kebenaran merancang tanpa kebenaran.

"Kawalan perniagaan pula melibatkan pengeluaran notis, kompaun, sita, pembatalan lesen, tutup premis dan pendakwaan," katanya.

Tambahnya, operasi J-Force kali ini juga akan menumpukan kepada penguatkuasaan pematuhan kepada penggunaan tong sampah yang telah disyaratkan dalam syarat pelesenan perniagaan.

Pasukan khas yang dikenali sebagai J-Force itu melibatkan hampir 50 orang kakitangan dan anggota penguat kuasa MPK yang melaksanakan pemantauan meliputi kawasan Klang Utara dan Klang Selatan.