Aksi 'superman' dua remaja bawa padah

No Image Caption
A
A
A

MARANG – Tindakan dua remaja lelaki menunggang motosikal secara berbahaya dengan melakukan aksi ‘superman’ membawa padah apabila mereka ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Wakaf Tapai pada Sabtu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Ismail Man berkata, remaja berusia 17 dan 18 tahun berasal dari Ajil, Hulu Terengganu itu ditahan di depan sebuah café di Wakaf Tapai pada jam 2 pagi.

“Mereka dikesan menunggang motosikal secara berbahaya iaitu melakukan aksi ‘superman’ dengan menundukkan kepala selari dengan meter dan melunjurkan kedua-dua kaki ke belakang.

“Aksi ini dibuat sejauh kira-kira 500 meter di pekan Wakaf Tapai dan perbuatan tersebut boleh mengundang bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Menurut Ismail, kedua-dua remaja tersebut bersama motosikal masing-masing dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata, dalam operasi yang diadakan di jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang, Wakaf Tapai itu, sebanyak 36 saman turut dikeluarkan kepada pengguna jalan raya atas pelbagai jenis kesalahan.

Katanya, lima motosikal ditahan di bawah Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk siasatan lanjut kerana kesalahan tiada lesen memandu dan mengubahsuai struktur kenderaan yang tidak mematuhi spesifikasi ditetapkan.

“Kita akan meneruskan operasi sebegini dari semasa ke semasa untuk mencegah gejala tidak sihat di kalangan belia bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya yang lain dan menjaga ketenteraman awam,” katanya.

Artikel Berkaitan: