X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 28 Jun 2022

Lawatan PM ke Vietnam bincang isu sijil vaksinasi, pelaburan

Amran ketika sidang media berhubung lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Hanoi, Vietnam pada Sabtu.
A
A

HANOI - [DIKEMAS KINI] Pemulihan ekonomi pasca pandemik Covid-19 dalam pelbagai sektor termasuk perdagangan dan pelaburan serta sijil vaksinasi antara isu yang akan menjadi tumpuan semasa lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Vietnam bermula esok hingga Selasa.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Amran Mohamed Zin berkata, pihak berkuasa Vietnam mengiktiraf sijil vaksinasi Malaysia dan keputusan itu disambut baik kerana ia merupakan antara aspek kerjasama yang ingin diadakan dengan rakan strategik negara ASEAN dan luar ASEAN.

"Cuma bagi pihak Malaysia pula, pengiktirafan sijil vaksinasi Vietnam sedang diteliti dengan aktif oleh kementerian yang berkaitan terutama MOSTI (Kementerian Sains, Teknologi dan inovasi).

"Mungkin semasa lawatan ini, Perdana Menteri akan membuat pengumuman tentang hala tuju berhubung pengiktirafan sijil vaksinasi dan kemudahan untuk rentas sempadan Malaysia.

"Kita akan lihat bagaimana prosedur yang perlu ditetapkan untuk kedua-dua pihak bagi proses keluar masuk antara Malaysia dan Vietnam bagi semua kategori pengembara, pelancong, perniagaan serta pelajar,” katanya pada sidang akhbar bersama media Malaysia di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, Vietnam telah membuka pintu sempadannya pada 15 Mac lepas dan lawatan ini akan memberi peluang kepada kedua-dua negara untuk membincangkan perkara berkaitan pasca pandemik.

Katanya, jumlah pelancong dari Malaysia ke Vietnam agak tinggi iaitu lebih 600,000 pada 2019 manakala dari Vietnam ke Malaysia lebih 400,000 orang.

Amran juga berkata, kerjasama perdagangan antara kedua-dua negara pada 2021 ialah sebanyak AS$16 bilion.

Beliau berkata, semasa mesyuarat jawatankuasa bersama Malaysia dan Vietnam pada tahun lepas, persetujuan awal telah dicapai supaya kedua-dua negara menetapkan sasaran nilai dagangan sebanyak AS$18 bilion menjelang 2025.

"Sudah tentunya perkara ini akan dibincangkan oleh Perdana Menteri dengan rakan sejawatan beliau dan kita akan tetapkan sasaran yang muktamad di peringkat tertinggi kedua-dua negara.

"Kalau dikira dari segi pelaburan, kita memang mempunyai pelaburan yang agak tinggi di Vietnam oleh pelabur Malaysia,” katanya.

Amran berkata, Malaysia merupakan rakan dagang kesembilan terbesar Vietnam di peringkat global manakala Vietnam pula rakan dagang ke-19 terbesar bagi Malaysia.

Beliau berkata, nilai pelaburan negara di Vietnam pada 2021 ialah AS$12.81 bilion dan Malaysia merupakan pelabur kelapan terbesar di negara itu manakala nilai pelaburan Vietnam di Malaysia pula masih di tahap yang perlu diperbaiki.

"Perdana Menteri sudah tentu akan menjemput pelabur dari Vietnam ke Malaysia bagi mengimbangi nilai pelaburan dua hala kerana banyak peluang pelaburan yang ditawarkan di Malaysia dan Perdana Menteri akan beri tekanan peningkatan pelaburan dari Vietnam ke Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Wisma Putra dalam kenyataan menyebut lawatan rasmi sulung Ismail Sabri ke Vietnam diadakan atas jemputan Perdana Menteri Pham Minh Chinh.

Menurut kenyataan itu, Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya bagi menilai kemajuan pelaksanaan Pelan Tindakan 2021-2025 Perkongsian Strategik Malaysia-Vietnam.

Kedua-dua pemimpin akan bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama selain menyaksikan pertukaran dokumen termasuk memorandum persefahaman mengenai aktiviti kerjasama undang-undang serta pengambilan, penggajian dan penghantaran pulang pekerja.

"Malaysia dan Vietnam turut bersetuju untuk meneroka kerjasama dalam bidang latihan diplomatik yang akan dizahirkan melalui satu Surat Niat. Di samping itu, satu Perjanjian Kerjasama Profesional antara Pertubuhan Berita Nasional Malaysia dan Agensi Berita Vietnam akan turut dimeterai,” menurut kenyataan itu.

Perdana Menteri turut dijadual mengadakan pertemuan berasingan dengan Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam, Presiden Vietnam dan Pengerusi Dewan Rakyat Vietnam selain sesi libat urus dengan komuniti perniagaan Malaysia dan bertemu Keluarga Malaysia di negara itu.

Kenyataan itu menyebut lawatan rasmi tersebut mencerminkan kepentingan hubungan Malaysia dan Vietnam selaku negara jiran dan rakan kongsi dalam ASEAN dengan kedua-dua negara bakal menyambut ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik pada 2023.

Pada lawatan itu, Perdana Menteri akan diiringi Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta pegawai kanan kerajaan. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!