Kerja-kerja tanam rumput baharu Stadium Nasional mula Januari 2023

Tunku Ismail (dua dari kanan) berkenan mencemar duli hadir meninjau keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.

 Turut sama Ahmad Faizal (kiri).

 - Foto Bernama
Tunku Ismail (dua dari kanan) berkenan mencemar duli hadir meninjau keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.

 Turut sama Ahmad Faizal (kiri).

 - Foto Bernama
A
A
A

KERJA-kerja pertukaran permukaan padang Stadium Nasional di Bukit Jalil di sini yang dianggarkan menelan belanja antara RM1.2 hingga RM1.4 juta hanya akan bermula seawal Januari tahun depan.

Kelewatan kerja-kerja menggantikan rumput di Stadium Nasional yang dijangka mengambil masa kira-kira empat bulan itu disebabkan komitmen yang telah dipersetujui pihak stadium untuk menganjurkan beberapa acara di venue rasmi skuad Harimau Malaya itu sepanjang tahun ini.

Prosesnya itu bagaimanapun akan akan bermula secepat mungkin apabila Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) bekerjasama rapat dengan pihak Stadium Sultan Ibrahim milik Johor Darul Ta’zim (JDT) di Iskandar Puteri, Johor.

Pemilik JDT Tunku Ismail Sultan Ibrahim ketika ditemui media selepas melakukan tinjauan di gelanggang keramat skuad Harimau Malaya itu bertitah, pertukaran permukaan rumput di padang berkenaan dilihat sebagai pelaburan jangka panjang bagi stadium berkenaan.

"Kalau kita tengok negara-negara jiran kita semua dah tukar kepada rumput yang lebih berkualiti kerana rumput ini adalah sebagai pelaburan jangka panjang untuk stadium kita dan salah satu stadium punya reputasi, lebih-lebih lagi, ini adalah Stadium Nasional.

"Jadi saya rasa dengan segera kita akan tukar, tapi saya difahamkan oleh kerana Stadium Nasional pun ada komitmen beberapa acara untuk tahun ini bermakna padang akan bermula kerja lebih lewat. Insya-ALLAH tak silap saya pada Januari tahun depan,” titah baginda.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Pada sesi tinjauan tersebut, Tunku Mahkota Johor itu turut berkenan menyerahkan replika cek dengan nilainya tertulis 'kos penukaran permukaan padang' Stadium Nasional Bukit Jalil bagi mengotakan janji baginda menaja perbelanjaan pertukaran rumput baharu jenis Zeon Zoysia di stadium berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ahmad Faizal menzahirkan rasa syukur dan terima kasih atas kurniaan dana pertukaran padang daripada Tunku Ismail dan menganggap ia sebagai satu sumbangan amat signifikan kepada pembangunan bola sepak di negara.

"Tentunya saya bersama PSM akan bekerjasama dengan pasukan Tunku di Johor untuk pastikan padang kita dalam keadaan terbaik. Kita akan mula satu proses pembelajaran dan bertukar-tukar nota untuk memastikan akhirnya stadium ini padangnya boleh dibanggakan hingga banyak pasukan antarabangsa sudi bermain,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata, kerja-kerja penukaran padang itu perlu melalui beberapa proses bersama Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Kewangan, namun berpendapat proses itu dapat dilaksanakan segera.

Sebagai rekod, minggu lepas Tunku Ismail sekali lagi menarik perhatian media menerusi kenyataan baginda yang mahu menanggung kos pertukaran rumput Stadium Nasional sebagai hadiah kepada skuad Harimau Malaya. - Bernama