Pembangkang akan kalah jika tidak bekerjasama dalam PRU15

Hassan Abdul Karim
Hassan Abdul Karim
A
A
A

PASIR GUDANG - Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) perlu mengenepikan ego masing-masing dan mengadakan kerjasama strategik bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, kerjasama strategik itu penting untuk mewujudkan satu blok pembangkang yang kuat dan seterusnya mampu menumbangkan Barisan Nasional (BN).

Bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor itu berkata, gabungan politik pembangkang itu berkemungkinan akan tewas pada PRU15 sekiranya formula kerjasama politik antara PH, PN dan Muda tidak direalisasikan.

"PH dan PN kena kena buang ego. Saya sendiri sebelum ini secara peribadi marah dengan kawan-kawan dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dianggap khianati PH tetapi itu sudah berlalu.

"Maknanya sekarang kita kena ada perubahan. Kita tidak mahu bagi laluan kepada BN kerana segala perkara yang mereka telah lakukan," katanya ditemui pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Tunggal Mawarnis di Taman Scientex di sini pada Sabtu.

Pada Jumaat, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad menjangkakan wujud pakatan antara parti-parti politik bagi menentang BN dalam PRU15.

Bekas Perdana Menteri itu juga mengakui sudah ada pendapat disuarakan parti pembangkang untuk membentuk pakatan susulan perpecahan yang hanya akan memberi kelebihan buat BN.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pintu rundingan sentiasa terbuka termasuk untuk berunding antaranya dengan Pejuang dan Parti Warisan (Warisan) tetapi keutamaan pada masa ini melibatkan PH, PN dan Muda.

Artikel Berkaitan:

"Semua pihak perlu berlapang dada dan berjiwa besar untuk memastikan kerjasama tersebut berjaya, namun parti-parti komponen PH perlu menjadi dominasi dalam gabungan yang akan diwujudkan itu nanti.

"Jangan tutup pintu rundingan, apa salahnya bekerjasama. Dalam kehidupan kita tidak boleh dibelenggu prejudis.

"Ini kerana prejudis akan mengikat kita, apa salah kalau mereka hulurkan tangan, kita bincanglah, tak semestinya dengan satu rundingan kita terus setuju," katanya.

Selain itu, beliau berkata, PH perlu bermuhasabah, bersifat terbuka dan akui kekalahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor termasuk tidak menyalahkan rakyat terhadap kekalahan mereka.

Katanya, pada PRN Johor, PH menjadi pilihan ketiga manakala PN pula pilihan kedua rakyat selepas BN sedangkan calon-calon PH banyak yang berkaliber serta pernah memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.