Mini kasino diserbu, lapan individu ditahan

Polis menjalankan pemeriksaan di sebuah pusat hiburan di Jalan Ipoh yang disyaki menjalankan aktiviti perjudian pada Khamis.
Polis menjalankan pemeriksaan di sebuah pusat hiburan di Jalan Ipoh yang disyaki menjalankan aktiviti perjudian pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Operasi sebuah mini kasino yang berselindung di sebalik pusat hiburan di Jalan Ipoh di sini, sejak dua minggu lalu terbongkar apabila diserbu Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai dalam satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan, seramai lapan individu membabitkan dua penjaga dan pekerja pusat hiburan itu ditahan dalam serbuan pada jam 11.45 malam.

Menurut beliau, lima lelaki dan dua wanita tempatan serta seorang lelaki warga asing itu berusia antara 18 hingga 62 tahun.

"Semakan turut mendapati empat yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau.

"Ketika serbuan, seramai sembilan pelanggan sedang berhibur sambil minum minuman keras. Kompaun dikenakan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) 2021," katanya.

Tambah beliau, pemeriksaan di sebuah bilik mendapati seramai dua penganjur perjudian serta empat individu sedang bermain judi menggunakan cip pelbagai nilai sebagai wang pertaruhan.

"Kita merampas wang tunai bernilai RM2,536, daun terup, cip pelbagai warna, peralatan sistem audio, bekas tempat letak cip dan bekas tempat letak daun terup," katanya.

"Kesemua suspek di tahan reman selama dua hari bermula hari ini (Jumaat) untuk siasatan lanjut," ujarnya.

Eng Lai berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hiburan 1953, Seksyen 7 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 55 B dan Seksyen 39 B Akta Imigresen.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai perlakuan jenayah boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di 03-40482222.

Artikel Berkaitan: