MAIS salur sumbangan untuk mangsa banjir di Terengganu, Kelantan

Wakil penerima menerima sumbangan disampaikan Ahmad Shahir (empat, kanan)
Wakil penerima menerima sumbangan disampaikan Ahmad Shahir (empat, kanan)
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyalurkan sumbangan berjumlah RM300,000 kepada mangsa banjir di Terengganu dan Kelantan.

Sumbangan meliputi peruntukan Baitulmal MAIS, Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) itu juga sebagai tanda solidariti antara Majlis Agama Islam Negeri-Negeri (MAIN).

Setiausaha MAIS, Ahmad Shahir Makhtar berkata, daripada jumlah tersebut, MAIS menyumbang wang tunai sebanyak RM100,000 manakala agensi dan anak syarikat MAIS iaitu LZS menyumbang berjumlah RM100,000.

"YIDE pula mengagihkan bantuan sebanyak 1,000 pek makanan asas dengan nilai sumbangan sebanyak RM100,000 dan Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd pula berperanan membekalkan pek makanan asas kepada mangsa," katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.

Beliau berkata, sumbangan berkenaan diserahkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) serta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

"Masing-masing menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM100,000 (RM50,000 daripada MAIS dan RM50,000 daripada LZS) serta 500 pek makanan asas dengan nilai RM50,000 bagi setiap negeri," katanya lagi.

Sebelum itu MAIS, dan Jabatan Hal Ehwal Islam Selangor serta anak syarikat agensi itu menyumbang sebanyak RM38.1 juta bagi membantu mangsa banjir di Selangor susulan bencana itu melanda pada Disember lalu.

Artikel Berkaitan: