Ucapan Presiden pada PAU 2021 jelas, diplomasi

Annuar Musa (kiri) ketika hadir pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Jumaat. -Foto Bernama
Annuar Musa (kiri) ketika hadir pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Jumaat. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tan Sri Annuar Musa berkata, ucapan dasar Presiden UMNO ketika merasmikan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 amat jelas dan penuh diplomasi, dalam menyampaikan mesej kepada perwakilan serta ahli parti.

Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu berkata, secara keseluruhan pendekatan yang digunakan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam membuat beberapa pesanan dilihat dapat mengharmonikan situasi.

"Mesej tetap sampai, boleh difahami dan pendekatan itu adalah lunak dan boleh mengharmonikan situasi ...tidak semestinya semua orang sependapat, tetapi saya rasakan Presiden telah membuat ucapan ‘well delivered’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian perhimpunan itu di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini pada Jumaat.

Antara inti pati ucapan perasmian Ahmad Zahid ialah UMNO mengulangi pendirian untuk terus mendukung kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam membangunkan semula negara.

Selain itu, Ahmad Zahid turut menekankan teras utama agenda parti merangkumi ekonomi, peluang pekerjaan, melahirkan lebih ramai usahawan berwibawa, meneruskan agenda integrasi pendidikan dan reformasi agenda rakyat.

Mengenai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Annuar berkata, keputusan mengenai perkara itu tidak boleh dibuat secara unilateral.

"Kita berada dalam satu kerajaan yang merupakan gabungan pelbagai parti, UMNO tidak boleh buat keputusan secara unilateral.

Artikel Berkaitan:

"Ada kaedah yang akan diperincikan oleh parti. Saya fikir apa yang digambarkan presiden agak jelas, sebenarnya menyegerakan PRU itu memang menjadi impian semua orang, cuma soal bila dan bagaimana, kita juga perlu mengambil kira peruntukan dalam perlembagaan,” katanya.

Beliau berkata, setiap perkara yang hendak dibincangkan mesti dalam konteks tidak boleh mendahului kuasa Yang di-Pertuan Agong dan soal pembubaran Parlimen perlu dibincang secara tertib.

Ahmad Zahid dalam ucapannya turut menyentuh mengenai PRU15 dengan mengatakan perkara itu diserah kepada Perdana Menteri. -Bernama