14 ditahan terlibat penyalahgunaan dadah

Seramai 14 individu termasuk seorang wanita ditahan dalam beberapa serbuan di tiga kawasan berasingan dikenal pasti menjadi sarang penagihan dadah dalam operasi selama tiga hari bermula Selasa lepas. - Gambar hiasan
Seramai 14 individu termasuk seorang wanita ditahan dalam beberapa serbuan di tiga kawasan berasingan dikenal pasti menjadi sarang penagihan dadah dalam operasi selama tiga hari bermula Selasa lepas. - Gambar hiasan
A
A
A

PORT DICKSON - Polis menahan 14 individu termasuk seorang wanita dalam beberapa serbuan di tiga kawasan berasingan dikenal pasti menjadi sarang penagihan dadah dalam operasi selama tiga hari bermula Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitendan Aidi Sham Mohamed berkata, serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson itu berjaya merampas dadah bernilai RM835.25.

"Kesemua suspek terdiri daripada 13 lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 20 hingga 65 tahun. Mereka ditahan di sekitar Lukut, Teluk Kemang dan Linggi di sini.

"Daripada jumlah tersebut, lima lelaki ditahan di kawasan Tokong Cina Lama di Bandar Spring, Lukut pada Selasa lepas dan berjaya merampas dadah jenis heroin seberat 2.14 gram," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Katanya, susulan tangkapan tersebut, seorang lelaki berusia 20-an berjaya ditahan di kawasan Lukut dan heroin seberat 15.10 gram berjaya dirampas.

"Keesokan harinya tiga suspek lelaki berusia 25 hingga 30 tahun ditahan di kawasan Telok Kemang kerana menyalahgunakan dadah.

" Pada Khamis pula, empat lelaki dan seorang wanita berusia 21 hingga 46 tahun ditahan di kawasan Linggi di sini," katanya.

Aidi Sham berkata, dalam serbuan itu heroin seberat 5.11 gram dan syabu seberat 0.53 gram berjaya dirampas.

Artikel Berkaitan:

"Jumlah keseluruhan rampasan dadah dianggarkan bernilai RM835.25. Hasil semakan mendapati, kesemua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah," katanya lagi.

Beliau berkata, kesemua suspek ditahan di lokap IPD Port Dickson dan kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.