Kutipan cukai untung luar biasa MSM dianggar lebih RM1 bilion

Industri minyak sawit juga dijangkakan menjana hasil cukai bernilai RM2 bilion lagi daripada cukai eksport bagi tahun ini. (Gambar kecil: Zuraida)
Industri minyak sawit juga dijangkakan menjana hasil cukai bernilai RM2 bilion lagi daripada cukai eksport bagi tahun ini. (Gambar kecil: Zuraida)
A
A
A

KERAJAAN dijangka mencatat kutipan cukai keuntungan luar biasa yang dianggarkan melebihi RM1 bilion pada 2022 berdasarkan unjuran purata harga minyak sawit mentah (MSM) tahun ini sebanyak RM4,250 satu tan manakala pengeluarannya sebanyak 19 juta tan.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, industri minyak sawit juga dijangkakan menjana hasil cukai bernilai RM2 bilion lagi daripada cukai eksport bagi tahun ini.

"Perkembangan ini tepat pada masanya memandangkan kerajaan telah membelanjakan berbilion-bilion ringgit sejak dua tahun lepas untuk membantu rakyat berikutan krisis berkembar pandemik Covid-19 serta kemerosotan ekonomi.

"Oleh itu, KPPK gembira kerana ini dapat membantu usaha kerajaan dalam masa sukar ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Zuraida juga menyuarakan keyakinan bahawa harga komoditi global yang menggalakkan serta pertumbuhan kukuh sektor itu akan turut membantu bagi mempercepatkan Pelan Pemulihan Nasional (PPN).

Menurutnya, hasil eksport minyak sawit bagi 2022 dijangka meningkat 11.8 peratus kepada RM72.25 bilion daripada RM64.62 bilion pada 2021 manakala eksport kayu dan produk kayu dijangka meningkat 5.52 peratus kepada RM24 bilion berbanding RM22.74 bilion sebelum ini.

"Pemilik ladang daripada konglomerat tersenarai sehinggalah pekebun kecil serta pemain industri lain semuanya berpeluang mendapat keuntungan daripada peningkatan hasil tersebut,” katanya.

Malah, Zuraida berkata, peningkatan hasil cukai itu akan membolehkan kerajaan melaksanakan lebih banyak projek sosioekonomi dalam semangat Keluarga Malaysia termasuk membina sekolah, hospital, jalan raya dan menyampaikan bantuan kewangan kepada golongan memerlukan.

Artikel Berkaitan:

"KPPK akan meningkatkan usaha untuk membantu pemain industri di bawah bidang kuasanya untuk merebut peluang ekonomi ini, termasuk membuka lebih banyak pasaran untuk komoditi negara.

"Sejak dua bulan lalu, saya telah mengetuai misi perdagangan secara meluas di luar negara untuk membuka pasaran bagi komoditi kita.

"Negara seperti Iran, Turki, India dan China telah menyatakan minat untuk meningkatkan import komoditi tersebut. Beberapa negara turut meningkatkan pembelian manakala yang lain dalam proses memuktamadkan perjanjian perdagangan,” katanya.

Menurutnya, China dijangka melakukan import tambahan 500,000 tan minyak sawit dari Malaysia pada 2022 manakala India diunjur menjadi destinasi pasaran utama negara minyak sawit Malaysia dengan tambahan import sebanyak dua juta tan pada tahun ini.

"India dijangka menghadapi kekurangan minyak makan kerana bergantung kepada minyak bunga matahari dari Ukraine selain perubahan dasar eksport sawit Indonesia. Oleh itu, minyak sawit Malaysia akan membantu menampung kekurangan di India,” katanya.

Beliau berkata, KPPK akan turut membantu pemain industri, terutama pekebun kecil dalam menjadikan perniagaan mereka lebih mampan termasuk menerusi usaha mengautomasikan perniagaan, meningkatkan penggunaan teknologi maklumat dan mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing. - Bernama