Wibawa demokrasi: Menangani isu lompat parti atau gabungan politik

No Image Caption
A
A
A

Pada Februari 2020, buat kali pertama dalam sejarah negara, isu keluar masuk parti menyebabkan kejatuhan Kerajaan Persekutuan dan seterusnya beberapa kerajaan negeri.

Tindakan ‘lompat parti’ menimbulkan kebimbangan kepada pelbagai pihak tentang kestabilan demokrasi di Malaysia. Berdepan situasi wabak pandemik Covid-19, ketidakstabilan politik rentetan ‘lompat parti’ ini menambah keruncingan kepada usaha pemulihan ekonomi.

Lompat parti bukanlah perkara baharu dalam politik negara. Selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Persekutuan Tanah Melayu yang pertama diadakan pada tahun 1959, Kerajaan Negeri Terengganu di bawah Pas jatuh pada tahun 1961.

Pembentukan Malaysia pada tahun 1963 membawa dinamik baru kepada keseimbangan kuasa di negara ini. Namun, keluar masuk parti terus berlaku dan ada yang menyebabkan kejatuhan beberapa kerajaan negeri.

Dalam kes Nordin Salleh yang keluar Pas dan menyokong Barisan Nasional (BN) pada tahun 1990, mahkamah menolak keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan menggugurkan beliau sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Hujah utama yang dipakai ialah jaminan Perlembagaan Persekutuan tentang Kebebasan Berpersatuan. Maka, meskipun ada negeri yang menggubal enakmen untuk menghalang lompat parti, tidak ada wakil rakyat yang pernah digugurkan selepas lompat parti. Ini juga satu alasan mengapa lompat parti terus berlaku.

Sementara tindakan keluar masuk parti adalah pilihan bebas individu, tindakan wakil rakyat atau parti politik menukar parti atau gabungan politik dilihat sebagai perbuatan meremehkan pilihan pengundi semasa proses pilihan raya. Kata kunci penting di sini ialah perbezaan yang ditunjukkan melalui konsep perwakilan.

Artikel Berkaitan:

Seseorang yang keluar masuk parti dianggap membuat pilihan bebas, tetapi sebagai wakil rakyat yang dipilih, mereka dan parti mereka sebenarnya mewakili agregat pengundi yang pelbagai.

Usaha menangani

Dalam usaha menangani situasi seperti ini, beberapa negara mengambil pelbagai variasi undang-undang yang meletakkan matlamat memastikan keyakinan umum, kestabilan politik dan kesucian perlembagaan.

Tiga pendekatan bagi menangani isu lompat parti atau gabungan politik yang dibincangkan di sini ialah pemecatan wakil rakyat untuk: (i) Pilihan Raya Semula (Recall Election), (ii) Anti-Lompat Parti (Anti-Hopping) dan (iii) Anti-Pembelotan (Anti-Defection).

Pendekatan 1: Pilihan raya semula

Melalui pendekatan ini, wakil rakyat atau parti politik tidak dihalang menukar parti atau gabungan politik. Namun, pengundi boleh menuntut pilihan raya semula melalui petisyen. Beberapa pendekatan dicadangkan, misalnya Bersih 2.0 melalui Kertas Penyelidikan Dasar berkaitan isu ini menyatakan proses pilihan raya semula akan dicetuskan dalam tiga senario berikut:

1. Pertukaran parti atau gabungan politik,

2. Sabitan bagi kesalahan yang tidak boleh dikompaun,

3. Tidak menghadiri Sidang selama lebih daripada 80% daripada hari bersidang dalam tempoh enam bulan berturut-turut, meskipun mendapat kebenaran Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Daripada tiga locus standi ini, proses melaksanakan pilihan raya semula bermula apabila 1% pengundi sah di kawasan berkaitan memulakan petisyen supaya kerusi berkenaan dikosongkan. Ia diikuti dengan petisyen daripada 10% pengundi dalam tempoh 8 minggu untuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil proses lanjut.

Seterusnya, dua ciri perlu dipenuhi untuk mengosongkan kerusi berkenaan, dan membolehkan pilihan raya kecil diadakan dalam tempoh 60 hari, iaitu (i) lebih banyak undi bersetuju daripada undi tidak setuju (ii) undi bersetuju melebihi lebih daripada 50% daripada pemilih berdaftar atau jumlah undi yang dimenangi oleh penyandang pada pilihan raya lepas.

Kelebihan dalam pandangan ini ialah (i) selari dengan duluan kes mahkamah terdahulu yang tidak menggugurkan wakil rakyat daripada kedudukan mereka secara automatik dan (ii) memberi hak kepada pengundi untuk mencabar tindakan lompat parti.

Namun, kelemahan utama daripada cadangan ini ialah (i) ia tidak cukup tegas menghalang tindakan lompat parti (ii) menyusahkan pengundi dan (iii) keseluruhan proses yang agak lama, mengambil masa sehingga 158 hari sebelum pilihan raya semula dapat diadakan.

Ini belum mengambil kira faktor lain yang berkaitan iaitu tempoh di mana pilihan raya semula tidak boleh diadakan. Selain itu, tempoh masa yang lebih panjang berkebarangkalian meningkatkan lagi kos.

Pendekatan 2: Anti lompat parti (ALP)

Anti Lompat Parti (ALP) juga mahu menghalang lompat parti melalui pendekatan pilihan raya semula. Ini dilakukan dengan menjadikan kerusi yang diwakili seorang wakil rakyat yang menukar parti, automatik kosong sebaik sahaja tindakan lompat parti berlaku. Satu pilihan raya kecil kemudian dijalankan dalam tempoh 60 hari, mengikut proses pilihan raya dan undang-undang sedia ada. Namun, calon yang bertindak lompat parti dibenarkan bertanding semula.

Meskipun prinsip asas ALP sama, terdapat beberapa variasi dalam amalannya. Sebagai contoh, undang-undang di Republik Singapura menyatakan kerusi ahli parlimen akan dikosongkan jika “... dia berhenti menjadi ahli, atau dipecat atau meletakkan jawatan daripada parti politik yang dia bertanding dalam pilihan raya."

Dalam pendekatan alternatif ALP yang agak ekstrem, seorang wakil rakyat di Republik India hilang kedudukan jika “... berkecuali dalam pengundian di Dewan yang bertentangan dengan apa juga arahan yang dikeluarkan oleh parti politiknya ... tanpa mendapat kebenaran daripada parti politik tersebut terlebih dahulu.” Meskipun terdapat variasi dalam amalan dan skopnya, mekanisme utama ALP kekal iaitu kerusi secara automatik dikosongkan dan pilihan raya kecil perlu diadakan.

Pendekatan 3: Anti-Pembelotan

Undang-undang anti-pembelotan adalah pendekatan lain untuk menangani isu ini secara berkesan dengan memperluaskan tindakan meliputi penjajaran semula parti politik. Secara umumnya, ia tidak banyak berbeza daripada ALP. Namun, persoalan timbul sama ada kekosongan berlaku sekiranya sesebuah parti politik dibatalkan pendaftarannya?

Ketiga-tiga pendekatan ini mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri. Namun, secara keseluruhannya, realiti dan prosesnya jauh lebih rumit. Kita tidak boleh semudahnya meremehkan sebab-sebab yang sah individu, wakil rakyat atau parti politik mengubah sokongan misalnya kerana dipecat atau melompat parti, misalnya hilang kepercayaan kepada pemimpin atau perjuangan parti atau/dan gabungan.

Kita tidak boleh menolak kemungkinan lompat parti atas sebab meragukan, misalnya menerima tawaran atau ganjaran tertentu seperti pelantikan jawatan, pemberian projek atau akses kepada peruntukan dan kuasa menjalankan tugas tertentu.

Dalam maksud mudah, ada lompat parti yang dilakukan secara sukarela dan ada yang bersifat terpaksa. Namun, dalam kebanyakan kes, lebih ramai wakil rakyat yang keluar daripada parti pembangkang untuk menjadi wakil rakyat kerajaan. Maka, definisi lompat parti mesti ditentukan secara jelas dan terperinci. Hakikatnya, semua parti pernah menerima wakil rakyat yang lompat parti atau mengalami wakil rakyat lompat parti.

Cadangan

Terlebih dahulu,parti politik mesti diiktiraf sebagai institusi demokrasi yang penting. Seseorang tidak dibenarkan bertanding dalam pilihan raya menggunakan logo parti tanpa watikah parti. Untuk membantu calon pilihan raya, banyak sumber parti politik digunakan.

Di parlimen, mereka duduk mengikut blok parti politik yang diwakili. Tidak patut seorang wakil rakyat dianggap sepanjang masa bebas membuat keputusan sebagai individu. Dalam isu wakil rakyat lompat parti, faktor parti mesti diambil kira.

Selepas sesuatu PRU, semua wakil rakyat yang membentuk blok kerajaan, pembangkang dan bebas perlu dikira sebagai satu gabungan politik dalam tempoh satu penggal. Lompat parti dikira berlaku sekiranya ada wakil rakyat lompat parti atau parti politik mahu keluar daripada gabungan politik dalam tempoh penggal itu.

Jika mana-mana wakil rakyat keluar parti, secara individu atau berkumpulan (termasuk parti), atau dipecat, mereka secara automatik akan kehilangan kerusi. Ini tidak termasuk wakil-wakil rakyat yang memilih untuk tidak mengikut parti menukar gabungan.

Pilihan raya akan dipanggil dalam tempoh 90 hari. Namun, dalam tempoh 30 hari, satu proses boleh disediakan untuk mereka yang lompat parti sama ada secara individu atau mengikut parti, untuk membuat petisyen untuk kekal yang mesti disokong oleh sekurang-kurangnya jumlah sama pengundi yang mengundi mereka dalam pilihan raya di mana mereka dipilih. Pengundi tersebut mestilah bukan pengundi yang mendaftar selepas pilihan raya di mana mereka dipilih.

Dalam tempoh yang sama, parti politik yang diwakili beliau ketika menang dalam pilihan raya sebelum itu, boleh mengumpulkan petisyen melebihi 50 peratus pengundi bagi mencabar petisyen mantan wakil rakyat tersebut. Sekiranya wakil rakyat tersebut gagal mendapatkan sokongan yang setara dengan undi yang beliau perolehi dalam pilihan raya di mana beliau dipilih, beliau kehilangan kerusi tersebut secara automatik dan parti politik yang diwakilinya sebelum itu berhak melantik pengganti beliau. Ini juga terpakai dalam kes wakil rakyat yang dipecat daripada parti yang diwakili mereka.

Agak sukar menguruskan pelbagai kes berbeza bagi menentusahkan sama ada seseorang wakil rakyat itu patut atau tidak patut hilang kerusi yang diwakilinya. Beberapa aspek yang mesti diambil kira ialah (i) mandat rakyat (ii) prinsip demokrasi (iii) hak parti bahkan (iv) hak ahli politik berstatus wakil rakyat dan partinya untuk mengekalkan atau mengubah pendirian. Mengambil kira pelbagai kerumitan yang ada, satu pendekatan hibrid, mengambil kira kelebihan dan kekurangan setiap usul yang ada perlu diambil.

NOTA:

Noor Amin Ahmad ialah Ahli Parlimen Kangar.

Artikel ini merupakan kerjasama dan sokongan Kaukus Ahli Parlimen Muda Dewan