RCEP berkuat kuasa di Malaysia 18 Mac 2022: MITI

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
A
A
A

PERJANJIAN Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) berkuat kuasa di Malaysia pada Jumaat sekali gus membuka jalan bagi integrasi negara ini dalam perjanjian perdagangan bebas (FTA) terbesar di dunia yang merangkumi 15 negara dengan jumlah penduduk melebihi 2.2 bilion orang.

Malah, RCEP turut memaparkan pencapaian besar dalam pertumbuhan dan pemerkasaan semula ekonomi yang pesat, demikian menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Perjanjian yang berpandukan sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan, akan turut membolehkan Malaysia menikmati ekosistem perdagangan dan pelaburan global dengan memanfaatkan penghapusan kira-kira 90 peratus tarif dalam kalangan anggota perjanjian itu.

"Manfaat lain termasuk liberalisasi perdagangan dengan lebih lanjut, penghapusan halangan bukan tarif, peningkatan aspek kemudahan perdagangan, menamatkan halangan bagi sektor perkhidmatan serta penambahbaikan persekitaran perniagaan melalui peraturan berkaitan perlindungan harta intelek, amalan perolehan kerajaan serta e-dagang,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan pada Jumaat.

MITI juga menyifatkan pembentukan RCEP itu menjadikan rantau Asia Pasifik sebagai pusat tarikan baharu bagi perdagangan global dengan memacu dagangan intra serantau yang hampir mencecah AS$42 bilion (AS$1= RM4.19).

"Dalam kalangan negara-negara ASEAN, Malaysia dijangka muncul sebagai penerima terbesar manfaat perjanjian itu dari segi keuntungan eksport dengan unjuran peningkatan sebanyak US$200 juta,” katanya.

Menurutnya, RCEP yang menepati agenda pembangunan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), akan meningkatkan pengiktirafan peranan perusahaan kecil dan sederhana, termasuk perusahaan mikro dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, pekerjaan serta inovasi.

"Tidak kurang pentingnya adalah peruntukan layanan khas dan berbeza mengikut negara anggota kurang membangun yang sememangnya penting dalam usaha memajukan pembangunan ekonomi secara saksama,” katanya.

Artikel Berkaitan:

MITI berkata, seiring dengan perkembangan dunia mencatat pemulihan secara beransur-ansur daripada impak pandemik, RCEP juga mengetengahkan mekanisme penting bagi merancakkan semula perniagaan dan aktiviti ekonomi menerusi pengurangan ketara halangan dagangan di serata rantau ini.

Selain daripada memperkukuh rangkaian sedia ada, RCEP akan turut mencetuskan kewujudan rantaian bekalan serantau baharu dan melonjakkan pertumbuhan perniagaan yang memasuki ekosistem perdagangan global, kata MITI.

"Sehubungan itu, kalangan komuniti perniagaan iaitu usahawan besar serta berskala kecil digalakkan untuk memanfaatkan peluang pelaburan besar serta penyertaan lebih hebat dalam rantaian nilai serantau dan global yang diwujudkan oleh perjanjian perdagangan mega ini,” katanya.

RCEP yang dilabelkan sebagai FTA terbesar dunia telah dimeterai oleh 15 negara pada 15 November 2020 selepas melalui 31 pusingan rundingan sejak lapan tahun lepas.

Negara-negara terbabit adalah Malaysia, Brunei, Singapura, Vietnam, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Thailand, China, Korea Selatan, Australia, Jepun dan New Zealand.

Kumpulan negara-negara tersebut secara keseluruhannya menyumbang hampir satu pertiga daripada jumlah penduduk dunia serta keluaran dalam negara kasar global. - Bernama