Kaedah KWSP jual aset pelaburan sesuai tampung pengeluaran pencarum

Kaedah KWSP untuk menjual aset pelaburan luar negara dan mengurangkan pelaburannya di peringkat domestik adalah lebih sesuai bagi menampung potensi pengeluaran yang banyak oleh pencarum.
Kaedah KWSP untuk menjual aset pelaburan luar negara dan mengurangkan pelaburannya di peringkat domestik adalah lebih sesuai bagi menampung potensi pengeluaran yang banyak oleh pencarum.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kaedah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menjual aset pelaburan luar negara dan mengurangkan pelaburannya di peringkat domestik adalah lebih sesuai bagi menampung potensi pengeluaran yang banyak oleh pencarum.

Penganalisis ekonomi daripada Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, langkah meningkatkan kecairan itu juga tidak perlu melibatkan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mewujudkan rizab tertentu ataupun mencetak lebih banyak wang.

"Walaupun ia tidak memberi impak kepada KWSP dan rakyat secara keseluruhan, namun ia akan memberi beban kepada BNM dan lari maksud atau objektif sebenar BNM,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menyatakan KWSP tidak perlu menjual aset kewangan pegangannya dan sebaliknya kerajaan mempunyai kuasa bagi mengarahkan BNM untuk membeli aset kewangan KWSP yang ingin dicairkan.

"Apabila Dr Asyraf menyatakan bahawa KWSP tidak perlu berbuat demikian, hanya menyerahkan aset mereka kepada BNM dan mewujudkan satu rizab baharu, saya lihat ini adalah salah faham di pihak beliau,” katanya.

Ahmed Razman berkata, BNM telah banyak membantu kerajaan dari segi pembelian bon Malaysia dan juga memberi pinjaman kepada SME Bank untuk membantu pengusaha kecil dan sederhana serta memberikan dividen kepada kerajaan.

"Semua yang dilakukan oleh BNM itu akan mewujudkan penambahan mata wang dalam pasaran.

"Oleh itu, jika Dr Asyraf mengesyorkan pengambilan alih aset KWSP oleh BNM, benda yang sama akan berlaku iaitu bank pusat akan mencetak wang dan menambahkan mata wang dalam pasaran,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau menambah, walaupun ia tidak memberi impak terhadap inflasi atau harga barangan kerana wang cetakan ini hanya berjumlah kira-kira enam peratus daripada kesemua kredit dalam pasaran, namun apabila BNM mencetak lebih banyak wang bagi tujuan mengambil alih aset daripada KWSP, ia akan memberikan beban liabiliti kepada bank pusat.

"Saya lihat pandangan beliau bahawa ia sekadar ‘accounting entry’ dan tidak melibatkan kos tambahan kepada BNM itu tidak benar,” katanya.

Pada Isnin lepas, Menteri Kewangan. Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata. KWSP perlu mengambil tindakan seperti menjual lebih banyak aset pelaburan luar negara dalam keadaan pasaran tidak menentu terutamanya susulan krisis Rusia-Ukraine serta menghentikan pelaburan dalam negara bagi tempoh jangka pendek dan sederhana dalam masa tiga hingga enam bulan bagi menampung nilai pengeluaran RM63 bilion.

Terbaharu, Perdana Menteri. Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu sidang media khas pada Rabu berkata. kerajaan membenarkan pengeluaran khas caruman KWSP bagi meringankan beban Keluarga Malaysia yang masih terkesan susulan pandemik Covid-19.

Kerajaan sebelum ini membenarkan pengeluaran caruman KWSP melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra berjumlah RM101 bilion, melibatkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik Covid-19 melanda negara dua tahun lepas. - Bernama