10 premis makanan kotor diarah tutup

Dr Mohd Anuar menunjukkan bekas bahan mentah disyaki mempunyai kesan gigitan tikus yang dikesan dalam Operasi Bersepadu Premis Makanan Bersih di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.
Dr Mohd Anuar menunjukkan bekas bahan mentah disyaki mempunyai kesan gigitan tikus yang dikesan dalam Operasi Bersepadu Premis Makanan Bersih di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - 10 premis makanan diarah tutup selama 14 hari di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 kerana tidak mencapai standard kebersihan ditetapkan termasuk ada yang menggunakan bekas bahan mentah mempunyai kesan gigitan tikus.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu (Kesihatan Awam), Dr Mohd Anuar Ab Rahman berkata, arahan itu dikeluarkan hasil Operasi Bersepadu Premis Makanan Bersih di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

Menurutnya, dalam operasi diadakan selama dua hari bermula Rabu dengan kerjasama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) itu, sebanyak 47 premis makanan di dua daerah tersebut telah diperiksa.

“Hasil pemeriksaan itu, sebanyak 10 premis ini diarah tutup kerana ada kehadiran tikus, peti sejuk tempat penyimpanan bahan mentah tidak berfungsi dan persekitaran makanan tidak bersih serta tidak terurus.

“Selain itu, pengendali makanan asing tidak diketahui status kesihatan, tiada pelalian anti-tifoid dan tidak menitik beratkan soal kebersihan diri,” katanya kepada pemberita di Klinik Kesihatan Chendering, di sini pada Khamis.

Dr Mohd Anuar berkata, sebanyak 66 notis kehadiran di mahkamah bagi kesalahan yang boleh dikompaun di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 turut dikeluarkan dengan nilai kompaun berjumlah RM31,450.

Katanya, antara notis dikeluarkan adalah bagi kesalahan berkaitan pakaian pengendali makanan, majikan gagal memastikan pekerja mendapatkan suntikan pelalian antitifoid, mengabaikan kebersihan premis dan memakai gelang/cincin semasa mengendalikan makanan.

“Operasi bersepadu ini dijalankan bagi melindungi orang ramai daripada penyakit bawaan air dan makanan terutama keracunan makanan. Aktiviti penguatkuasaan ini bukan bersifat menghukum sebaliknya mendidik agar pengendali menjaga kebersihan serta mematuhi peraturan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sepanjang tahun lepas, sebanyak 4,241 premis makanan telah diperiksa oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) di seluruh negeri dan daripada jumlah itu, sebanyak 24 premis diarah tutup selain 508 notis memerintahkan kehadiran di mahkamah turut dikeluarkan.