Awas penyeludup, gerakan anda diperhati...

Adnan (tiga, kiri) melakukan lawatan di pintu sempadan Bukit Bunga, hari ini.
Adnan (tiga, kiri) melakukan lawatan di pintu sempadan Bukit Bunga, hari ini.
A
A
A

TANAH MERAH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan akan mempertingkatkan pemantauan di pintu sempadan bermula dari Pengkalan Kubor hingga ke Kalai Batu Melintang melalui kerjasama agensi penguat kuasa.

Ini termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) bagi mengekang penyeludupan keluar barangan seperti minyak masak dan tepung gandum ke negara jiran.

Pengarah KPDNHEP negeri, Adnan Abdul Rahman berkata, pihaknya mengakui pembukaan pintu sempadan selama 20 jam sehari baik dari segi perdagangan, namun pihaknya akan bersiap sedia dan membuat pemantauan bagi memastikan barangan kawalan tidak diseludup keluar ke sempadan Thailand.

"Kita akan memastikan barangan yang diberi subsidi itu tidak diseludup keluar sesuka hati dari negara ini supaya ia dapat dinikmati rakyat tanpa merugikan kerajaan.

"Barangan kawalan kita seperti minyak masak, diesel, gas LPG sering kali diseludup keluar kerana barangan kita murah berbanding di negara jiran yang lebih mahal dan menyebabkan ada pihak lakukan kegiatan menyeludup untuk dapat keuntungan lebih," katanya selepas lawatan kerja di pintu sempadan Bukit Bunga di sini, hari ini.

Menurutnya, kerjasama dijalankan melibatkan agensi tempatan selain ATM, AKSEM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Pasukan Polis Marin (PPM) adalah usaha memantau dan mempertingkatkan kawalan di pintu sempadan.

"Kita kerap adakan rondaan di sepanjang pangkalan haram dan pemantauan secara berkala ke atas pemborong barangan kawalan yang dilesenkan bagi mengekang aktiviti penyelewengan dan cubaan pihak penyeludup melakukan aktiviti menyeludup.

"Barangan yang ditahan mana-mana agensi penguat kuasa akan diserahkan kepada KPDNHEP untuk disiasat mengikut Akta Bekalan Kawalan 1961. Kita tidak boleh menempatkan pegawai KPDHEP setiap masa di pintu sempadan negara. Oleh itu, kita dapatkan bantuan ATM dan AKSEM yang boleh menahan barangan yang disyaki diseludup dan menyerahkan kepada kita," katanya.

Artikel Berkaitan:

Adnan berkata, KPDNHEP Kelantan sudah mencapai persetujuan antara ATM dan AKSEM untuk mewujudkan kerjasama menerusi operasi bersama yang dijalankan.

"Kita juga akan mengadakan taklimat di Kelantan berhubung pemahaman undang-undang yang dikuatkuasakan dan membincangkan bentuk kerjasama dalam mengekang jenayah rentas sempadan yang menyeludup barangan kawalan," katanya.