Pertubuhan alam sekitar persoal peruntukan RM1.44 bilion MTIB

MTIB mengumumkan peruntukan pinjaman berjumlah RM1.44 bilion bagi membantu usahawan industri perkayuan bermula 2007 sehingga 2025. Gambar kecil: Meor Razak Meor Abdul Rahman
MTIB mengumumkan peruntukan pinjaman berjumlah RM1.44 bilion bagi membantu usahawan industri perkayuan bermula 2007 sehingga 2025. Gambar kecil: Meor Razak Meor Abdul Rahman
A
A
A

SHAH ALAM – Gabungan pertubuhan alam sekitar mempersoalkan peruntukan pinjaman mudah yang diumumkan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) kerana ia didakwa tidak selari dengan ketetapan Majlis Tanah Negara (MTN).

Jurucakap gabungan itu, Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, ini kerana pada tahun lalu, persetujuan secara prinsip Pelaksanaan Moratorium Kelulusan Baharu Penubuhan Ladang Hutan dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Semenanjung Malaysia telah dipersetujui MTN.

“Sepatutnya sebelum sesuatu peruntukan pinjaman hendak disediakan oleh MTIB, ia haruslah selari dengan ketetapan yang telah diputuskan oleh MTN,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Meor berkata, penyediaan peruntukan pinjaman kepada pengusaha industri ladang hutan yang menanam spesies-spesies pokok tertentu seperti buluh dan panlownia adalah tidak mematuhi garis panduan Penubuhan Ladang Hutan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.

“Kami berpendirian, dasar yang menggalakkan pembangunan ladang hutan (ladang monokultur) dalam HSK perlu diperhalusi semula dan sebaiknya tidak digalakkan dilaksana dalam HSK,” katanya yang mewakili Sahabat Alam Malaysia (SAM), Greenpeace, Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuas), Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (Grass), Persatuan Penggerak Bumi Hijau Malaysia (Bumi Hijau) dan Persatuan Sahabat Ekologi Perak (Ekologi).

Pada 13 Mac lalu, MTIB mengumumkan peruntukan pinjaman berjumlah RM1.44 bilion bagi membantu usahawan industri perkayuan bermula 2007 sehingga 2025.

Ketua Pengarah MTIB, Mahpar Atan dilaporkan berkata, pinjaman itu melibatkan dua fasa dan merupakan usaha kerajaan bagi merancakkan projek pembangunan perladangan hutan dan industri perkayuan di seluruh negara.

Katanya, bagi fasa pertama yang bermula 2007 sehingga 2020, lebih 129,000 hektar kawasan perladangan hutan telah dibangunkan dengan peruntukan berjumlah RM940 juta.

Artikel Berkaitan: