Bukan derhaka tetapi berprinsip: Shahrir Samad

Shahrir
Shahrir
A
A
A

JOHOR BAHRU - Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abd Samad menegaskan dirinya bukan 'royalist' atau tegar UMNO sebaliknya mempunyai prinsip sebagai seorang demokrat.

Ketua Bahagian UMNO Johor Bahru itu berkata, dalam soal hubungan antara parti dengan raja, beliau mempunyai pendirian tidak menyokong parti dan raja setiap masa.

"Saya bagi contoh. Masa krisis perlembagaan berikutan Yang di-Pertuan Agong tidak berkenan kepada undang-undang yang telah Parlimen luluskan, saya bersama parti.

"Apabila parti pula nak mansuhkan Timbalan Setia Johor, iaitu JMF, saya melobi Datuk Ghani Othman untuk minta ditarik balik rang undang-undang itu. Maka selamatlah suatu warisan negeri Johor.

"Semasa diarahkan parti kepada kerajaan negeri supaya Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail dipulaukan, saya bawa jawatankuasa bahagian UMNO Johor untuk berhari raya dengan Almarhum Tuanku di Istana Bukit Serene," jelasnya.

Bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu turut memberitahu, banyak pihak mempersoalkan tindakannya tidak mahu hadir ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) kerana malu berikutan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad diketepikan daripada jawatan Menteri Besar Johor.

"Saya ditanya mengapa saya macam menyoalkan kuasa raja untuk menentukan siapa yang dalam pertimbangan Tuanku layak memegang jawatan itu.

"Tan Sri tak berpihak kepada kuasa raja ke?

Artikel Berkaitan:

"Dalam soal hubungan antara parti dengan raja, saya mempunyai pendirian saya sendiri. Tidak setiap masa, saya menyokong parti dalam soal ini. Dan tidak setiap masa, saya menyokong raja pula." katanya menerusi kenyataan di Facebook rasminya pada Rabu.

Shahrir turut menjelaskan tiada sebarang kepentingan dalam tindakannya itu.

"Saya ada prinsip saya sendiri sebagai seorang demokrat.

"Kuasa bagi saya, haruslah bersendalkan kepada kebijaksanaan. Itu sahaja. Tak de (tiada) apa-apa kepentingan. Sokong atau setuju, tidak sokong atau tidak setuju dengan saya, tidak menjadi hal," katanya.