Hasni perlu diberi peluang sebagai MB

Dari kiri: Puad, Hasni dan Onn
Dari kiri: Puad, Hasni dan Onn
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Datuk Seri Hasni Mohammad adalah calon terbaik bagi Menteri Besar (MB) Johor dan seharusnya diberi peluang mentadbir kerajaan negeri yang telah stabil kedudukannya.

Pensyarah Kanan, Pusat Perdana Fakulti Tekonologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berkata, perkara itu dilihat menerusi karakter pemimpin itu yang begitu tenang, disenangi rakyat serta berpengalaman.

“Jika daripada pengamatan, Hasni adalah calon terbaik untuk kembali menerajui Johor, lebih-lebih lagi ketika ini partinya sudah mempunyai majoriti penuh dan mudah untuk segala dasar dilaksanakan.

“Kenapa kita melihat begini adalah beliau penyandang MB, berkaliber dan mempunyai ‘trek record’ yang baik. Beliau juga adalah muka yang diangkat parti ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai MB.

“Bila tiba-tiba isu mengenai lantikan ini goyah, dan Hasni bukan MB, ia mungkin akan membawa kepada satu polemik baharu atau keretakan,” katanya kepada Sinar Harian di sini, pada Selasa.

Pada Isnin, Hasni yang juga Pengerusi UMNO Johor dalam satu kenyataan seperti memberi bayangan bahawa Kerajaan Negeri yang dibentuk Barisan Nasional (BN) akan mempunyai pemimpin lain yang lebih muda sebagai MB.

Hasni juga mencadangkan kepimpinan BN memilih orang muda untuk memimpin negeri Johor selepas melihat sokongan dan kedudukan orang muda penting terhadap pembangunan negeri.

Antara nama disebutkan bakal menggantikan Hasni adalah ADUN Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang merupakan bekas Exco Belia dan Sukan Negeri Johor.

Artikel Berkaitan:

Mazlan berkata, keretakan yang dimaksudkan itu adalah merujuk kepada perpecahan dalam parti yang dilihat boleh memberi kesan kepada keputusan pentadbiran Johor yang sedang membangun.

“Keretakan itu pasti berlaku, jika perpecahan wujud ia boleh merencatkan segala keputusan bersama. Saya melihat mengapa Hasni perlu diberi peluang adalah beliau sudah menjalankan tugas malah pernah memegang jawatan itu dalam tempoh sukar.

“Semestinya beliau juga telah memainkan peranannya dan telah bersedia untuk saat ini. Tidak mustahil juga keyakinan rakyat boleh terhakis kerana melalui apa yang didendangkan Hasni adalah MB bagi mereka jika memilih BN,” katanya.

Hasni, Onn Hafiz, Mohd Puad
Hasni, Onn Hafiz, Mohd Puad

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan apa yang berlaku ketika ini adalah kerana tujahan ‘politiking’ sesama pemimpin UMNO sendiri.

“Kita boleh mengandaikan mungkin ada 'politiking' dalaman sesama UMNO sendiri yang mengakibatkan berlakunya perubahan ini. Sebab kita tahu mereka ini (UMNO) ada satu masalah iaitu bila mereka kuat, mereka akan berbalah.

“Jika tiada penolakan dalam parti, ia mungkin merujuk kepada isu lain, kita faham Johor mempunyai keistimewaannya dalam banyak perkara termasuk daripada segi lantikan MB sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai spekulasi pemimpin yang lebih muda bakal menggantikan Hasni iaitu Onn Hafiz, Mazlan memberitahu, pemilihan tokoh berkenaan sebagai MB mungkin adalah berdasarkan beberapa faktor tertentu.

Beliau berkata, perkara itu adalah berasaskan hipotesis kajian yang mana pemimpin berkenaan mungkin dipilih kerana statusnya selain desakan daripada pihak tertentu.

“Kita ini bercakap berdasarkan hipotesis, kalau kita lihat Onn Hafiz ini adalah daripada golongan aristokrat, daripada keturunan dikenali, kita lihat jika ada kena mengena lantikan ini mungkin ia adalah hanya berlandaskan ‘proksi’.

“Sebab kita kena faham, walaupun Onn Hafiz ini adalah wakil rakyat sebelum ini, orang biasa tidak akan mudah sampai ke tahap ini (menteri besar),” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, Onn Hafiz masih mempunyai tarikannya yang mana ia adalah merujuk kepada pemikiran orang muda yang lebih dinamik.

“Beliau ada tarikan, mungkin dari sudut orang muda. Tetapi adakah layak beliau menjadi MB, beliau perlu sendiri membuktikannya dengan cara kerja dan khidmat diberikan,” katanya.