Lebih 8,000 mangsa banjir belum terima bantuan

Seramai 8,395 mangsa banjir di Selangor masih belum menerima BSB dari kerajaan negeri dan BWI dari kerajaan Persekutuan setakat Isnin. - Gambra hiasan
Seramai 8,395 mangsa banjir di Selangor masih belum menerima BSB dari kerajaan negeri dan BWI dari kerajaan Persekutuan setakat Isnin. - Gambra hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 8,395 mangsa banjir di Selangor masih belum menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) dari kerajaan negeri dan Bantuan Wang Ihsan (BWI) dari kerajaan Persekutuan setakat Isnin.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, daerah Klang mencatatkan jumlah tertinggi mangsa yang belum menerima bantuan berkenaan iaitu 7,236 keluarga, diikuti Kuala Langat (530); Petaling (348); Sepang (223); Kuala Selangor (56) dan Gombak sebanyak dua keluarga.

Menurutnya, bantuan kepada mangsa-mangsa banjir selesai diagihkan ketiga daerah di Selangor iaitu Hulu Langat, Sabak Bernam dan Hulu Selangor.

"Setakat Isnin, kerajaan negeri meluluskan dan mengagihkan BSB kepada 118,110 keluarga dengan peruntukan RM118.10 juta melalui peruntukan yang disalurkan kesemua Pejabat Tanah dan Daerah sebanyak RM132.63 juta.

"Manakala daripada 25 jumlah kematian, kita dapati 14 waris keluarga telah menerima bantuan tersebut dengan peruntukan keseluruhan RM140,000, " katanya ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Dewan Negeri Selangor, di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Amirudin turut memaklumkan, sebanyak 2,942 permohonan ditolak atas beberapa faktor yang tidak memenuhi kriteria dan permohonan bertindih.

Ujarnya, sebanyak 300 permohonan masih dalam semakan untuk ditentusahkan layak menerima bantuan banjir atau sebaliknya.

"Kita jangkakan menjelang akhir Mac ini kita boleh melangsaikan bayaran tertunggak ini. Kalau ada yang masih tertunggak selepas tarikh tersebut, kita akan proses (permohonan) hingga akhir April.

Artikel Berkaitan:

"Untuk keluarga yang masih belum dapat bantuan tersebut, kita masih mempunyai baki sebanyak RM14.38 juta di Pejabat Tanah dan Daerah.

"Sekarang kita tidak agihkan bantuan di dewan-dewan dan sebagainya, jadi baki keluarga yang masih belum dapat bantuan ini akan dihubungi dan wang tersebut akan terus dibayar ke akaun atau secara pemindahan dana elektronik (EFT)," katanya.