[VIDEO] Tiada DNA babi dalam gegelang sotong sejuk beku: KPDNHEP

Sampel gegelang sotong sejuk beku disahkan tidak mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi.
Sampel gegelang sotong sejuk beku disahkan tidak mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Sampel gegelang sotong sejuk beku disahkan tidak mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia disahkan oleh keputusan daripada Jabatan Kimia Malaysia.

"Pihak KPDNHEP ingin menasihati pengguna agar berhati-hati di dalam menyebarkan maklumat terutama di media sosial termasuklah isu berkaitan halal kerana ia boleh mendatangkan kegusaran kepada orang ramai," katanya.

Minggu lalu, tular di media sosial satu tangkap layar mengenai dakwaan sotong ring sejuk beku yang mengandungi rektum babi ditemui di sebuah premis di Perlis.

Ia sekali gus menimbulkan pelbagai reaksi terutama rakyat beragama Islam sekaligus menggesa kerajaan melakukan siasatan terhadap dakwaan tersebut.

Alexander berkata, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan dan siasatan ke atas beberapa premis di peringkat peruncit, pemborong, pengedar dan pengimport produk terbabit di sekitar Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Johor Bharu.

"Hasil pemeriksaan dan siasatan yang telah dijalankan, beberapa produk ditemukan dan KPDNHEP telah mengambil tindakan dengan menyita kesemua produk terbabit bersama beberapa dokumen perniagaan lain untuk siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, sampel-sampel daripada produk terbabit telah dihantar kepada Jabatan Kimia Malaysia untuk mengenalpasti sama ada produk terbabit mengandungi DNA babi atau sebaliknya.

"Susulan itu, melalui keputusan yang diterima, Jabatan Kimia Malaysia telah mengesahkan bahawa tiada DNA babi dikesan di dalam sampel terbabit," katanya.

Artikel Berkaitan:

@sinarharianonline Siapa lah punya kerja ni ya sebar benda yang tak pasti! #fyp#TikTokNews#TrendingNewsMalaysia#GegelangSotong#DNABabi original sound - Sinar Harian