Wooi Yik kena lebih garang di Seluruh England

Wooi Yik (kiri) dan Aaron sandaran utama beregu lelaki negara di Seluruh England.
Wooi Yik (kiri) dan Aaron sandaran utama beregu lelaki negara di Seluruh England.
A
A
A

SOH Wooi Yik perlu beraksi seperti ‘harimau kelaparan’ di Kejuaraan Seluruh England yang bakal membuka tirai esok.

Itu harapan ketua jurulatih beregu lelaki negara, Flandy Limpele selepas Wooi Yik, yang terlepas beberapa sesi latihan dan Terbuka Jerman pada minggu lepas kerana dijangkiti Covid-19, kini bersedia untuk menampilkan cabaran sengit pada kejuaraan berprestij di Arena Birmingham itu.

Malah Flandy turut meminta Wooi Yik dan gandingannya, Aaron Chia untuk mempersiapkan mental untuk bersaing dan memberikan aksi terbaik tanpa mengira siapa lawan dalam meraih gelaran pertama di Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

"Wooi Yik dan Aaron telah memulakan latihan semalam dan saya lihat keadaan Wooi Yik baik. Saya berharap beliau lebih baik di Seluruh England, bagaikan lapar mahu makan semua (lawan),” katanya dalam rakaman video yang dikongsikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada Selasa.

Aaron-Wooi Yik, yang juga naib juara edisi 2019 yang juga pilihan keempat kejohanan akan membuka kempen menentang Vladimir Ivanov-Ivan Sozonov dari Rusia pada pusingan pertama.

Pada pusingan kedua, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu akan bertemu pemenang pertembungan pusingan pertama antara rakan sepasukan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan He Ji Ting-Tan Qiang dari China.

Sementara itu, Flandy berharap Sze Fei-Nur Izzuddin yang meraih gelaran Terbuka Jerman baru-baru ini dapat meneruskan aksi konsisten pada kejohanan akan datang, termasuk Seluruh England.

"Mereka ada banyak lagi kejohanan berturut-turut, jadi mereka perlu tetap fokus, saya harus menjaga mereka. Dari segi teknik saya rasa tiada masalah, dari segi mental mereka harus jaga,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengenai Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang bakal membuat debut di Seluruh England, Flandy mahu anak buahnya beraksi seperti biasa tanpa memikirkan status lawan mereka ketika berdepan juara dunia Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun di pusingan pertama.

"Saya dah bincang dengan mereka untuk beraksi tanpa tekanan, perlu ubah corak pemikiran kerana mereka sedang meningkat, tiada apa yang perlu dibimbangkan, tekanan tentunya pada Hoki-Kobayashi. Kalau dah dalam gelanggang semua ada peluang untuk menang...lawan sahaja,” katanya.