Remaja direman bantu siasatan kes kebakaran pondok

No Image Caption
A
A
A

MARANG - Seorang remaja lelaki ditahan reman selama dua hari sehingga esok, bagi membantu siasatan kes kebakaran di asrama Madrasah dan Pondok Al-Huda, Kampung Lubuk Perah dekat sini, petang Isnin.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda setelah mendapat permohonan daripada pihak polis untuk menjalankan siasatan di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan.

Remaja berusia 14 tahun itu kelihatan tiba di pekarangan Mahkamah Majistret di sini, kira-kira 9 pagi diiringi anggota polis.

Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira 6 petang Isnin, pemilik madrasah berkenaan menyedari berlaku kebakaran di bilik kuliah dan mendapati tilam yang berada di dalam bilik tersebut telah terbakar.

Pemilik madrasah kemudian terus menghubungi bomba bagi mendapatkan bantuan dan tidak lama kemudian, kebakaran kedua dikesan di bilik asrama dan semasa bomba tiba, berlaku pula kebakaran ketiga di bilik tumpangan berhampiran surau madrasah.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Terengganu, Md Hilman Abd Rashid ketika ditemui di lokasi kejadian semalam berkata, pihaknya mengesyaki terdapat unsur jenayah dan menyerahkan kes itu kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

"Kebakaran pada tempat berbeza dengan pattern yang sama... bahan bukti kita dah ambil dan akan dibawa ke makmal untuk analisa,” katanya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar ketika dihubungi mengesahkan telah menerima laporan berhubung kejadian tersebut. - Bernama

Artikel Berkaitan: