Tom Drowley jurulatih kecergasan Speedy Tigers

Arul Selvaraj (kanan) percaya kepakaran dimiliki Drowley (kiri) mampu membantu meningkatkan prestasi dan kecergasan anak buahnya.
Arul Selvaraj (kanan) percaya kepakaran dimiliki Drowley (kiri) mampu membantu meningkatkan prestasi dan kecergasan anak buahnya.
A
A
A

SKUAD Speedy Tigers mendapat tonik berharga bagi menghadapi beberapa kejohanan utama apabila Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) melantik pakar dari England, Tom Drowley sebagai jurulatih kecergasan.

Ketua jurulatih pasukan hoki lelaki negara, A Arul Selvaraj percaya kepakaran dimiliki Drowley mampu meningkatkan prestasi dan kecergasan anak buahnya kepada tahap optimum untuk memberi tentangan hebat terutama dalam aksi Sukan Asia 2022 dan Piala Dunia 2023.

Katanya, kecergasan merupakan masalah utama pada setiap kejohanan dan walaupun pasukan Malaysia mempunyai pemain berbakat, namum mereka sering kekurangan dalam aspek tersebut.

"Apa yang saya mahukan hanya dua iaitu tempoh pemulihan dan kekuatan serta kuasa mereka. Jika kami dapat menyelesaikan dua perkara ini, saya rasa kami sudah bersedia untuk bertanding,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar majlis penyerahan kontrak jurulatih kecergasan serta kerjasama dengan syarikat kecergasan Celebrity Fitness sebagai rakan rasmi pasukan hoki lelaki kebangsaan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada Isnin.

Selain itu beliau berkata, pelantikan tersebut juga membantu pasukan berada dalam keadaan bersedia bagi mengharungi saingan Piala Asia yang masih belum diputuskan tarikh serta venue setakat ini.

Sementara itu, Drowley berkata, kepantasan dan kemahiran yang dimiliki pemain skuad kebangsaan tidak boleh dinafikan, namun misinya adalah memastikan kesemua pemain berada pada tahap kecergasan lebih tinggi.

"Banyak yang perlu saya belajar lagi tentang pemain dan saya telah mendengar daripada jurulatih mengenai kekuatan, pemain dan apa yang mereka perlukan. Tetapi, apa yang saya mahu kongsikan dengan pemain ialah bagaimana tubuh badan berfungsi.

Artikel Berkaitan:

"Jadi, tugas saya ialah memastikan keselamatan mereka dan menjadikan mereka lebih pantas dan agresif,” katanya.

Pakar kecergasan berusia 35 tahun itu, sebelum ini merupakan jurulatih kecergasan pasukan Great Britain selama tujuh tahun selain membantu skuad wanita negara itu memenangi pingat gangsa pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.