Harimau Malaya mula turun padang

A
A
A

SERAMAI 25 daripada 30 pemain melaporkan diri pada hari pertama kem latihan pusat skuad Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Isnin.

Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon berkata, tiga pemain, Safawi Rasid, Darren Lok dan Khair Jones tidak dapat melaporkan diri kerana mempunyai sebab masing-masing.

Menurut Pan-gon, dua lagi pemain yang berpangkalan di luar negara, Liridon Krasniqi dan Dion Cools hanya akan menyertai rakan sepasukan mereka di Singapura minggu depan.

“Sejujurnya hari ini sememangnya cukup sukar kerana semua (pemain) baharu tiba dan tumpuan lebih diberikan kepada proses pemulihan sebelum latihan penuh bermula Rabu ini.

“Malam tadi ramai dalam kalangan pemain yang beraksi dalam pusingan pertama Piala FA selama 90 minit bersama pasukan masing-masing. Jadi buat masa ini kita beri keutamaan kepada soal pemulihan.

“Pagi esok, kita akan bermula dengan taktikal manakala latihan yang sebenar berkemungkinan besar bermula Rabu ini,” katanya kepada pemberita di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Isnin.

Difahamkan, Safawi yang juga tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) terpaksa pulang ke Terengganu ekoran masalah kesihatan yang dihadapi bapanya.

**media[]**

Penyerang PJ City FC, Darren Lok pula tidak sihat manakala Khair Jones pula baharu sahaja selesai menjalani tempoh kuarantin bersama Negeri Sembilan FC.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pemain sayap Terengganu FC (TFC), Faisal Abdul Halim mahu menggunakan ‘peluang kedua’ bersama skuad kebangsaan dengan memberikan aksi terbaik bagi membuktikan sesuatu kepada Pan-gon.

“Ya, pengalaman pada Piala Suzuki AFF tahun lalu amat mengecewakan apabila saya hanya dapat beraksi satu perlawanan. Tapi apakan daya takdir kita ini bola sepak, saya percaya pada rezeki.

“Ini peluang kedua saya bersama pasukan Harimau Malaya, mungkin ini peluang terbaik untuk saya buktikan sesuatu kepada 'coach' baharu,” ujarnya.

Skuad Harimau Malaya kini dalam persiapan untuk menghadapi dua aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Singapura menentang Filipina pada 23 Mac ini sebelum berdepan tuan rumah tiga hari kemudian.

Kedua-dua perlawanan persahabatan itu adalah sebagai persediaan menjelang Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun depan.

Skuad Harimau Malaya yang turut dijadual menentang kelab Albirex Niigata dalam satu lagi aksi persahabatan pada 28 Mac diundi dalam Kumpulan E bersama-sama Bahrain, Turkmenistan dan Bangladesh.