Sultan Mizan lancar buku Sejarah dan Perkembangan DUN Terengganu

Sultan Mizan berkenan menyampaikan titah pada Majlis Pelancaran Buku Sejarah dan Perkembangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di sebuah hotel pada Isnin. - Foto Bernama
Sultan Mizan berkenan menyampaikan titah pada Majlis Pelancaran Buku Sejarah dan Perkembangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di sebuah hotel pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyempurnakan Pelancaran Buku Sejarah dan Perkembangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini pada Isnin.

Buku tersebut memuatkan himpunan sejarah perkembangan badan legislatif negeri itu, sejak pertama kali diwujudkan secara rasmi pada 1959, iaitu sebaik selesai Pilihan Raya DUN kali pertama setelah negara mencapai kemerdekaan pada 1957.

Yang Dipertua DUN Terengganu, Datuk Yahaya Ali berkata, buku tersebut mempunyai nilai yang sangat besar baik dari segi sejarah, mahupun nilai estetikanya bagi Terengganu.

"Dalam tempoh selama 63 tahun ini, saya yakin semua pimpinan DUN kita telah melakukan usaha terbaik di zaman masing-masing bagi membina sebuah badan legislatif negeri yang bersifat Islamik. Pada masa sama, ia sedang bergerak dengan lebih demokratik, meraikan suara rakyat dan mempunyai hubungan yang inklusif dengan masyarakat,” katanya pada majlis pelancaran buku berkenaan di sini pada Isnin.

Hadir sama, Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abd Jalil.

Katanya, sebahagian besar kandungan buku itu turut memuatkan gambar-gambar istiadat keberangkatan Tuanku Sultan di zaman pemerintahan baginda sempena acara pembukaan penggal baharu persidangan DUN Terengganu, khususnya bagi menyampaikan Titah Ucapan Diraja.

"Usaha bagi mengumpulkan bahan untuk menerbitkan buku bersejarah ini sudah tentu tidak mudah dan mengambil masa lebih setahun kerana ia melibatkan sejarah lama, justeru saya merakamkan setinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata, buku berkenaan merupakan naskhah kedua yang diterbitkan oleh DUN selepas buku pertama bertajuk 'Pemantapan DUN-Perkembangan dan Masa Depan' yang dilancarkan pada 2020. - Bernama

Artikel Berkaitan: