Kes penipuan dalam talian catat kerugian lebih RM1.61 bilion

Sebanyak 51,631 kes penipuan dalam talian dilaporkan dari 2019 hingga 2021 melibatkan kerugian lebih RM1.61 bilion. - Foto 123RF
Sebanyak 51,631 kes penipuan dalam talian dilaporkan dari 2019 hingga 2021 melibatkan kerugian lebih RM1.61 bilion. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 51,631 kes penipuan dalam talian dilaporkan dari 2019 hingga 2021 melibatkan kerugian melebihi RM1.61 bilion.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Jonathan Yasin berkata, kes belian dalam talian mencatatkan angka tertinggi dengan 18,857 kes diikuti pinjaman tidak wujud sebanyak 15,546 kes.

"Pelbagai usaha dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memerangi sindiket ini termasuk meningkatkan penguatkuasaan undang-undang, pengoperasian dan menjalankan pendakwaan terhadap mereka yang terlibat.

"Sejak 2019 hingga 2021, seramai 26,349 tangkapan telah dibuat dan sebanyak 16,029 pertuduhan telah dilaksanakan.

"Polis juga mewujudkan 'CCID Scam Response Center' dan orang ramai boleh membuat panggilan untuk mendapatkan maklumat serta kesahihan panggilan bagi sebarang transaksi yang meragukan,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Su Keong Siong (PH-Kampar) yang meminta statistik kes penipuan pembelian dalam talian bermula 2019 sehingga tahun lalu serta langkah diambil bagi membendung masalah itu supaya tidak menjejaskan kerancakan urus niaga bentuk baharu.

Mengulas lanjut, Jonathan berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sentiasa dengan komitmennya untuk merancang, menjalankan kajian dan menyemak semula undang-undang yang dikuatkuasakan dalam memastikan ia relevan seiring perkembangan dan isu semasa.

"Kita akan kaji semula peraturan Akta Perlindungan Pengguna 2007 sekiranya dapat membendung segala jenis jenayah yang berlaku dalam negara ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau menjawab soalan tambahan daripada Datuk Che Abdullah Mat Nawi (Pas-Tumpat) yang ingin mengetahui sama ada terdapat keperluan untuk undang-undang penguatkuasaan dipinda atau dikemas kini supaya relevan dengan cabaran semasa.