Tetak: Penjual besi buruk mengaku tidak salah

Mohamad Shahzrie (tengah) dikawal polis ketika tiba di pekarangan Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada Isnin.
Mohamad Shahzrie (tengah) dikawal polis ketika tiba di pekarangan Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada Isnin.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang penjual besi buruk mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas pertuduhan menetak seorang lelaki dengan sebilah parang pada minggu lalu.

Tertuduh, Mohamad Shahzrie Sham Sabudin, 25, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Mohd Faain Adha Azliza, 30, dengan menggunakan sebilah parang di Sungai Bechah, Gunong dekat Bachok pada jam 12.10 tengah malam, 8 Mac lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau boleh dikenakan sebat.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 13 April depan sementara menunggu laporan perubatan mangsa.

Tertuduh menjelaskan wang jaminan tersebut.

Artikel Berkaitan: