Sanches terlepas slot berdepan Chelsea

Sanches
Sanches
A
A
A

PEMAIN sensasi Lille, Renato Sanches akan terlepas aksi timbal balik pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara menentang Chelsea di Stade Pierre Mauroy awal pagi Khamis selepas mengalami kecederaan otot, kata kelab Ligue 1 Perancis itu.

Pemain Portugal berusia 24 tahun itu yang mengalami kecederaan ketika seri 0-0 berdepan St Etienne dalam perlawanan liga, menjadi pemain utama Lille musim ini, membuat 18 penampilan dan menjaringkan lima gol.

"Sanches mengalami kecederaan pada otot biceps femoris di paha kirinya.

"Pemain antarabangsa Portugal itu dijangka tidak beraksi selama tiga minggu, bergantung kepada perubahan klinikal kecederaannya," kata Lille.

Untuk rekod, gol Kai Havertz dan Christian Pulisic meletakkan penyandang juara Chelsea kendalian Thomas Tuchel di kedudukan selesa untuk ke suku akhir apabila melakar kemenangan 2-0 ke atas Lille di Stadium Stamford Bridge dalam perlawanan pertama sebelum ini.

Situasi itu juga menyaksikan Sanches berkemungkinan diketepikan daripada perlawanan play-off Piala Dunia Qatar 2022, Portugal menentang Turki di Porto pada 24 Mac.

Portugal berstatus pemenang Euro 2016, berisiko gagal layak ke Qatar 2022 selepas menamatkan saingan di belakang Serbia dalam kumpulan kelayakan.

Artikel Berkaitan: