PRN Johor: 85 calon hilang deposit

Presiden Parti Pejuang Datuk Seri Mukhriz Mahathir melambaikan tangan kepada petugas media sempena PRN Johor malam Ahad. Pejuang gagal menawan rakyat Johor dalam PRN pada Sabtu.
Presiden Parti Pejuang Datuk Seri Mukhriz Mahathir melambaikan tangan kepada petugas media sempena PRN Johor malam Ahad. Pejuang gagal menawan rakyat Johor dalam PRN pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menyaksikan cubaan 85 calon menjadi wakil rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya itu pulang dengan 'tangan kosong' selepas kehilangan deposit.

Ini termasuk calon tiga parti baharu yang membuat langkah sulung iaitu Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang mempertaruhkan 42 calon, Parti Bangsa Malaysia (PBM - 4) dan Parti Bumiputra Perkasa Malaysia (Putra - 1).

Parti Warisan yang melebarkan sayapnya di Semenanjung dengan meletakkan enam calon selain Parti Sosialis Malaysia yang bertanding satu kerusi turut menerima nasib sama.

Selain itu, tujuh calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Medan, Semarang, Tenggeroh, Pasir Raja, Johor Lama, Tanjung Surat dan Benut turut kehilangan deposit setelah gagal memperoleh satu per lapan atau 12.5 peratus undi daripada jumlah keseluruhan undi yang dikira.

Masing-masing empat calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding di Yong Peng, Layang-Layang, Mengkibol dan Paloh dan Pakatan Harapan (PH) di Endau, Panti, Sedeli dan Penawar turut menerima nasib sama.

Bagi kesemua 16 calon Bebas yang bertanding di 12 DUN, hanya Zahari Osman yang berhadapan pertandingan empat penjuru di DUN Penggaram memperoleh undi tertinggi berbanding calon Bebas lain iaitu sebanyak 2,190 undi. - Bernama

Artikel Berkaitan:


Dapatkan keputusan #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my