Tanah runtuh: Penduduk di puncak bukit tak lena tidur

Mohd Faizal (kanan) bersama Mokhtar (kiri) yang datang melihat keadaan tanah runtuh di bahagian belakang rumahnya di Jalan Taman Permai 1.
Mohd Faizal (kanan) bersama Mokhtar (kiri) yang datang melihat keadaan tanah runtuh di bahagian belakang rumahnya di Jalan Taman Permai 1.
A
A
A

AMPANG - Penduduk di Jalan Bukit Permai 1, di sini masih trauma dan bimbang terhadap keselamatan mereka sekiranya insiden tanah runtuh berlaku lagi pada bila-bila masa.

Ini kerana jarak runtuhan tanah di Taman Bukit Permai 2 Khamis lalu hanya kira-kira 50 meter dari bahagian belakang rumah dan ia dipercayai masih tidak stabil.

Malah penduduk memberitahu mereka tidak dapat tidur lena sejak malam kejadian terutamanya apabila hujan lebat melanda di kawasan perumahan mereka.

Seorang penduduk ditemui, Mohd Faizal Mahbub, 38, turut mendakwa, mereka juga belum menerima sebarang arahan rasmi untuk berpindah ke tempat lebih selamat.

Namun, menurutnya, pemantauan giat dilakukan pihak berkuasa berkaitan di bahagian belakang rumah penduduk termasuk pengawasan daripada pihak polis demi faktor keselamatan.

Mohd Faizal Mahbub
Mohd Faizal Mahbub

"Setakat ini kami masih belum diarah untuk berpindah ke mana-mana tetapi kalau diarahkan kami berharap dapat berpindah ke kawasan berdekatan bagi melancarkan rutin harian kami.

"Kami hanya mampu berdoa agar tiada perkara buruk berlaku lagi terdekat ini selain berharap agar kerja-kerja pembaikan dapat segera selesai," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Terdapat lebih kurang 10 buah rumah di Jalan Bukit Permai 1 berisiko 'ditelan bumi' kerana terletak di atas bukit selepas tanah itu runtuh melanda Taman Bukit Permai 2 di kaki bukit berkenaan.

Sementara itu, jirannya, Jamaludin Mat Husin, 39, turut sependapat bahawa kerja-kerja pembaikan perlu disegerakan malah sanggup berpindah jika diminta untuk berbuat demikian terdekat ini.

Jamaludin Mat Husin
Jamaludin Mat Husin

"Saya tak dapat tidur dengan lena tambah pula apabila teringat bunyi rekahan tanah pada tengah malam semalam, bimbang kalau runtuhan tanah ini berulang semula," kata kakitangan kerajaan itu.

Dua lagi penduduk, Mokhtar Husin, 57, dan Mohd Fadzil Ismail, 42, berharap pihak berkuasa tempatan dapat segera menangani perkara itu demi keselamatan penduduk memandangkan keadaan cuaca sekarang tidak menentu.

Keadaan tanah runtuh di bahagian belakang rumah penduduk di Jalan Taman Permai 1.
Keadaan tanah runtuh di bahagian belakang rumah penduduk di Jalan Taman Permai 1.

Pada Khamis, kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 meragut empat nyawa dan menyebabkan seorang cedera ringan selain menjejaskan 15 rumah serta 10 kenderaan.

Operasi mencari dan menyelamat ditamatkan kira-kira jam 2 pagi pada Jumaat selepas Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak mengesahkan penemuan mayat mangsa keempat dan kelima pada 12.46 tengah malam dan 1.59 pagi.