Wanita antara tiga ditahan pecah rumah

Antara barang dan kenderaan yang dirampas oleh pihak polis.
Antara barang dan kenderaan yang dirampas oleh pihak polis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua lelaki dan seorang wanita ditahan pada Sabtu kerana disyaki terlibat dalam kejadian pecah rumah membabitkan kerugian mencecah RM150,000 di Dsand Residence, Jalan Kampung Pasir di sini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, beliau menerima laporan berkaitan kejadian daripada seorang wanita tempatan berusia 37 tahun pada 7 Mac lalu.

"Kejadian disedari berlaku pada 7 Mac, kira-kira jam 4.50 petang apabila mangsa dimaklumkan oleh suaminya melalui panggilan telefon.

"Suami mangsa telah membuat pemeriksaan awal dan mendapati mangga yang dipasang di pintu gril besi rumah hilang manakala tingkap di tandas dalam keadaan terbuka.

"Mangsa telah kehilangan barang-barang berharga berupa beg tangan berjenama, pelbagai jam tangan berjenama, wang tunai RM10,000, peralatan elektronik, komputer riba dan barangan kemas," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur yang membuat pemeriksaan di lokasi kejadian berjaya menemui lima kesan cap jari dan satu kesan tapak kasut.

"Pada 12 Mac jam lebih kurang 3.15 pagi, pasukan polis Brickfields berjaya membuat tangkapan ke atas dua lelaki tempatan berusia 30 dan 41 tahun serta seorang wanita tempatan berusia 35 tahun.

"Salah seorang suspek yang ditangkap mempunyai 23 rekod jenayah atas pelbagai kesalahan termasuk dadah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pihak polis turut merampas sebuah kereta jenis Honda Accord, motosikal Yamaha Y15ZR, kad akses Dsand Residence, pelbagai jenis telefon bimbit, sembilan utas jam tangan, seutas rantai leher dan gelang tangan serta beg tangan berjenama.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.