Peratusan keluar mengundi rendah mungkin sebab bimbang Covid-19

Hasni
Hasni
A
A
A

PONTIAN - [DIKEMAS KINI] Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad tidak menolak kemungkinan peratusan keluar mengundi rendah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disebabkan pengundi bimbang dengan penularan Covid-19.

Hasni yang juga calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut berkata, kebimbangan itu menyebabkan pengundi tidak ghairah keluar mengundi pada PRN Johor hari ini.

"Saya dapati ramai pengundi daripada golongan dewasa mungkin bimbang kes Covid- 19 menyebabkan mereka tidak begitu ghairah keluar mengundi.

"Situasi ini melibatkan semua kaum," katanya ketika ditemui pada Sabtu.

Hasni sebelum itu hadir di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Raja Pekan Nanas di sini bagi melaksanakan tanggungjawab dalam Pilihan Raya Negeri (PRN Johor).

Hasni membuang undi di SK Pengkalan Raja Pekan Nanas pada jam 4.10 petang Sabtu.
Hasni membuang undi di SK Pengkalan Raja Pekan Nanas pada jam 4.10 petang Sabtu.

Calon Menteri Besar daripada BN itu turut melahirkan keyakinan jumlah peratusan pengundi akan meningkat sehingga 70 peratus sebelum tempoh pengundian berakhir pada jam 6 petang.

"Adalah penting supaya di setiap pusat pembuangan undi itu tiada peraturan menyekat pengundi melaksanakan tanggungjawab mereka.

Artikel Berkaitan:

"Jelas ini menunjukkan bahawa aspek keselamatan dan lokasi tidak menjadi halangan untuk menyekat atau menyukarkan mereka pergi mengundi. Setiap kali pilihan raya keadaanya berbeza," katanya.

Hasni berdepan saingan empat penjuru di DUN Benut pada PRN Johor kali ini.

Beliau ditentang oleh calon Perikatan Nasional (PN), Senator Datuk Isa Ab Hamid, Haniff @ Ghazali Hosman (PKR) dan Iskandar Noor Ibrahim (Parti Pejuang Tanah Air)