Ismail Sabri tinjau proses pengundian PRN Johor

Ismail Sabri ketika meninjau perjalanan proses pengundian PRN Johor pada Sabtu. - Foto Facebook Ismail Sabri
Ismail Sabri ketika meninjau perjalanan proses pengundian PRN Johor pada Sabtu. - Foto Facebook Ismail Sabri
A
A
A

JOHOR BAHRU - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Sabtu meninjau perjalanan proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 yang mula dibuka pada jam 8 pagi Sabtu.

Ismail Sabri yang tiba di Sekolah Kebangsaan Perumahan Tampoi 2, Kempas iaitu satu daripada 1,021 pusat mengundi pada jam 1.55 petang dan meluangkan masa kira-kira 10 minit melihat dari pekarangan luar sekolah itu.

Perdana Menteri turut dilihat mengadakan pertemuan dengan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas, Datuk Ramlee Bohani.

Ramlee berdepan pertandingan tujuh penjuru melibatkan Napsiah Khamis Maharan (Pakatan Harapan), Nornekman Osman (Parti Pejuang Tanah Air), Nur Faizal Abdullah (Perikatan Nasional) dan tiga calon Bebas iaitu Mohd Azwan Abd Rahman, Mohd Suhimi A Rahman dan Mohd Hambali Munadi.

Turut kelihatan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Sebanyak 2,539,606 pengundi biasa daripada 2,597,742 pengundi berdaftar layak untuk menunaikan tanggungjawab mereka pada Sabtu.

Pada PRN Johor kali ini, 239 calon daripada 15 parti politik bertanding merebut 56 kerusi DUN Johor.

Sementara itu, dalam hantaran di Twitter beliau, Ismail Sabri bersyukur proses pengundian yang berlangsung pada Sabtu lancar dan teratur.

"Meninjau PDM Taman Siantan, DUN Kempas bersama calon Barisan Nasional, Datuk Ramlee Bohani. Jumpa Aisyah (jurufoto Nur Aisyah Mazlan) daripada NSTP yang sedang bertugas. Alhamdulillah proses mengundi di sini lancar dan teratur,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut melakukan tinjauan di luar pekarangan pusat mengundi bagi DUN Kota Iskandar di Sekolah Kebangsaan Taman Mutiara Rini, dekat Skudai.

Ismail Sabri tiba di tempat pengundian pada jam 2.30 petang dan berada di sana kira-kira 10 minit, serta bergambar dengan beberapa pengundi yang selesai menunaikan tanggungjawab mereka di pusat mengundi itu. - Bernama


Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my